Friday, June 17, 2011

Perjanjian rintis pembangunan Sg Besi

Perjanjian rintis pembangunan Sg Besi
Jun 15, 11 7:52pm

Beberapa perjanjian telah ditandatangani hari ini untuk membuka ruang bagi menukar wajah tanah di lapangan terbang Sungai Besi lama menjadi Bandar Malaysia, sebuah pembangunan strategik bagi pertumbuhan jangka panjang negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), berkata Bandar Malaysia akan mempunyai beberapa unsur menarik untuk memperkukuh daya saing global Kuala Lumpur di saat bandaraya-bandaraya bersaing untuk menarik pelabur dan perniagaan antarabangsa.

1MDB, pemaju induk Bandar Malaysia yang merupakan syarikat pembangunan strategi milik kerajaan, menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi pemindahan tanah lapangan terbang Sungai Besi seluas 196.6 hektar kepada 1MDB.

Ia juga menandatangani SPA dengan Menteri Besar Diperbadankan Negeri Sembilan bagi pembelian tanah seluas 300 hektar di Sendayan, sebagai tapak ganti pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan perjanjian induk penempatan semula untuk membangunkan lapan tapak ganti bagi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, menjadi saksi pemeteraian perjanjian tersebut yang berlangsung di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di ibunegara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, menandatangani bagi pihak Menteri Besar Diperbadankan Negeri Sembilan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Datuk Azemi Kasim, yang juga Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, menandatangani bagi pihak kementerian dan jabatan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi, menandatangani bagi 1MDB.

Bandar Malaysia bertujuan membudayakan konsep 'livability' sebagai ciri utama Greater Kuala Lumpur.

Ia merupakan satu pembangunan bersepadu yang menekankan konsep keseimbangan antara kehidupan dengan kerjaya termasuklah pembinaan kawasan hijau yang lapang, ruang terbuka untuk kegunaan orang ramai dan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa.

Ini adalah kali ketiga tapak bersejarah itu ditukar kegunaannya. Pada 1956, ia menjadi lapangan terbang antarabangsa pertama Malaysia yang mencetuskan perkembangan industri penerbangan, pengangkutan, pelancongan dan hospitaliti.

Ia juga merupakan titik permulaan bagi Tentera Udara Diraja Malaysia yang kini berkembang menjadi pasukan tentera yang moden.


http://malaysiakini.com/news/167048

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...