Jun 16, 11
1:32pm
Menurut mereka, tanpa mengetahui punca sebenarnya, gelaja itu tidak akan dapat ditangani dengan berkesan.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) beranggapan stastistik baru yang didedahkan di parlimen kelmarin merupakan petunjuk bahawa kajian menyeluruh perlu dilakukan.
"Saya ingat (kita) perlu menjalankan kajian yang terperinci punca (orang Islam) keluar dari agama Islam, sebab kita tidak tahu lagi apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian," kata Presiden ABIM, Dr Muhd Razak Idris.
Malaysiakini kelmarin melaporkan, permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang antara tahun 2000 hingga 2010.
Laporan itu berdasarkan statistik yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di parlimen yang menyatakan permohonan menukar status agama oleh orang Islam di Mahkamah Syariah berjumlah 863 kes dan sebanyak 168 kes diluluskan.
Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.
Menteri berkenaan semalam dilaporkan menafikan laporan itu kerana sehingga kini belum ada satu pun kes yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.
Pekida: Kenapa mereka berjaya
Sementara itu, Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berpendapat, kajian tersebut perlu menjurus untuk mencari punca kerana kefahaman agama umat Islam masih belum kuat.
"Banyak masalah yang berlaku sebenarnya, tetapi mereka (yang terlibat) sukar meluahkannya, (melainkan) hanya kepada orang yang dipercayai sahaja," katanya.
Beliau mencadangkan, tumpuan perlu dibuat di Sabah kerana negeri tersebut mencatatkan jumlah permohonan keluar murtad yang tertinggi iaitu sebanyak 238 kes.
Menurut Zaid (kiri) lagi, mungkin kefahaman Islam tidak dipupuk melalui institusi kekeluargaan dengan baik.
Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pula berkata, kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada faktor teknikal, seperti orang Islam yang dibesarkan oleh bukan Islam, menjadi penyumbang kepada gejala itu.
"(Ia) perkembangan yang membimbangkan, kajian segenap sudut boleh dilakukan dari segi undang-undang yang memerlukan peruntukkan kemas dan seragam kerana undang-undang yang ada di negeri tidak seragam," kata jurucakap PEMBELA, Dr Yusri Mohamad.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiyah Malaysia (Pekida), Jamaludin Yusof pula meminta pihak berkuasa agama mengkaji bagaimana umat Islam boleh dipengaruhi untuk menukar agamanya.
“Kenapa Kristian berjaya? (Ini) kerana mereka duduk sekali (dengan masyarakat," katanya.
http://malaysiakini.com/news/167096
No comments:
Post a Comment