Tuesday, January 13, 2009

Angka kematian lepasi 900 orang


BEBERAPA penduduk melarikan diri ketika tentera Israel melancarkan serangan udara di Bandar Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Pejuang-pejuang Hamas bertempur dengan unit infantri rejim Zionis di Gaza semalam ketika Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert melahirkan harapan pelan damai yang diusahakan Mesir akan menamatkan perang berkenaan dengan segera.

Beberapa pegawai perubatan berkata, sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran terbaru itu sekali gus meningkatkan korban konflik tersebut yang memasuki hari ke-17 semalam dengan melepasi angka 900 orang.

Menurut mereka, kira-kira 4,000 orang pula cedera dalam peperangan tersebut.

Tentera Israel menyatakan mereka melancarkan lebih 25 serangan udara semalam yang mengenai beberapa skuad Hamas, pelancar roket dan dua kenderaan membawa pejuang Hamas.

Tentera Israel turut memberitahu, askar-askar Israel menerima tentangan hebat daripada pejuang-pejuang Hamas yang berkubu di dalam sebuah masjid.

Menurut rejim Zionis, sebuah jet tempur menyerang skuad Hamas itu manakala askar-askar Israel kemudian berjaya menawan masjid tersebut dan merampas sejumlah roket dan peluru mortar.

Ribuan askar simpanan Israel menyertai peperangan menentang pejuang-pejuang Hamas manakala pergerakan itu pula terus melancarkan roket ke wilayah Yahudi sepanjang perang tercetus sejak 27 Disember tahun lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...