Tuesday, January 13, 2009

Seluruh England jadi idaman

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


--------------------------------------------------------------------------------

JAGUH dunia yang lainnya semua sudah ditumbangkan, tetapi gelaran Seluruh England belum lagi digenggam.
Mungkin itu yang perlu diburu oleh Datuk Lee Chong Wei (gambar) bagi melengkapkan koleksi kejuaraannya.

Andai prestasi jadi ukuran, Chong Wei memang layak melakukannya. Namun, pencapaian pemain No. 1 dunia itu di pentas Seluruh England tidak begitu membanggakan.

Dia sekadar mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali daripada lima penyertaan.

"Sudah semestinya saya gembira dengan pelbagai kejayaan yang saya raih selama ini dan berharap dapat menambah koleksi kemenangan pada tahun 2009 ini.

"Namun, apa yang lebih penting ialah gelaran Seluruh England. Kejuaraan ini belum pernah saya raih dan sudah pasti saya inginkannya," jelas Chong Wei yang berjaya merekodkan gelaran kelimanya pada Terbuka Malaysia di Stadium Putra kelmarin.

Sama seperti Chong Wei, jurulatihnya iaitu Datuk Misbun Sidek juga seperti terkena badi Seluruh England apabila dia gagal meraih sebarang kejuaraan daripada lapan penampilan.

Pencapaian paling membanggakan buat Misbun ialah muncul naib juara pada edisi 1986, iaitu kejohanan yang menyaksikan dia tumbang kepada legenda Denmark, Morten Frost Hansen pada perlawanan akhir.

"Seluruh England miliki prestijnya yang tersendiri sebagai kejohanan paling utama di Eropah. Jadi, mana-mana pemain Asia pasti inginkan gelaran itu," jelas Misbun.

"Namun, ia bukanlah kejohanan yang mudah kerana setiap pemain perlu memiliki persiapan dari segi mental dan fizikal selain berdepan cuaca sejuk.

"Kini, terpulang kepada Chong Wei untuk membuktikannya kerana saya tahu dia juga begitu mengimpikan gelaran Seluruh England," tambahnya.

Begitupun, Misbun enggan memberi tekanan kepada Chong Wei, sebaliknya mahu anak didiknya itu menumpukan kepada tahap kecergasan terbaik.

"Mungkin Terbuka Korea minggu ini boleh menjadi pentas terbaik untuk Chong Wei menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk sebelum menghadapi Seluruh England pada Mac depan" ujar Misbun.

Berdasarkan rekod lalu, hanya empat pemain perseorangan lelaki negara yang pernah merangkul kejuaraan Seluruh England.

Mohd. Hafiz Hashim muncul pemenang terakhir iaitu pada tahun 2003 selepas Tan Aik Huang melakukannya pada tahun 1966.

Sebelum itu, dua legenda negara, Wong Peng Soon dan Eddy Chong masing-masing unggul dengan empat kejuaraan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...