Tuesday, January 13, 2009

Kekasih ganas



Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Seorang wanita koma selepas dipercayai dibelasah teman lelakinya, termasuk dihentak dengan batang besi sebesar lengan di beberapa bahagian tubuh berikutan perselisihan faham, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Taman Kristal, Padang Temusu, dekat sini, wanita Melayu berusia 25 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah di rumah oleh jiran yang kebetulan lalu di kawasan itu.

Mangsa yang belum berkahwin, tetapi mempunyai dua anak berusia tiga bulan dan setahun itu dipercayai tinggal bersama teman lelakinya di rumah berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Jiran terbabit menemui mangsa terbaring di ruang tamu rumah selepas melihat pintu terbuka. Dia kemudian menghubungi polis.

Jurucakap polis berkata, anggota yang tiba dengan sebuah kereta peronda menemui seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di tepi mangsa yang tidak sedarkan diri.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun pula ditemui dalam sebuah bilik.

Katanya, polis turut menemui sebatang besi yang terdapat kesan darah dibuang di tepi longkang hadapan rumah dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Bagaimanapun, polis tidak menemui teman lelaki mangsa kerana dia dipercayai melarikan diri sebaik bertindak ganas ke atas mangsa.

“Mangsa diberi rawatan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini oleh ambulans,”
katanya.

Mengikut rekod polis, mangsa pernah ditahan polis kerana cuba terjun dari sebuah bangunan terbengkalai di Padang Temusu, dekat sini.

“Ketika kejadian (cubaan membunuh diri), mangsa yang belum berkahwin sedang sarat mengandung,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tiba di tempat kejadian memaklumkan kedua-dua anak mangsa diambil pihaknya berikutan tiada orang menjaga mereka.

JKM mendapatkan perintah mahkamah bagi menempatkan dua beradik itu di Rumah Kanak-Kanak di Kepala Batas.

“Kami akan membuat siasatan ke atas ibunya sama ada mampu menjaga dua anaknya ini atau tidak. Jika tidak, anaknya itu akan diambil JKM,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20090113084043/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...