Surat ini akan didedah Selasa atau Rabu ini sebelum hari pembuangan undi
12 Jan 2009 10:33AM
KT: Ezam tiba di Kuala Terengganu. Kali ini dengan rahsia baru yang bakal mengejutkan persada politik tanah air. Bekas 'orang kuat' Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Nor mahu mendedahkan surat bekas Timbalan Perdana Menteri itu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai percubaan berdamai seminggu selepas dipecat, di sini minggu ini.
Laporan mStar Online memetik Ezam mengumumkan pendirian itu malam tadi, sehari selepas mendedahkan yang Anwar pernah memintanya supaya menguruskan langkah berdamai dengan Dr. Mahathir lebih sedekad lalu.
Beliau berkata, surat itu akan diedarkan kepada umum sama ada Rabu atau Khamis ini - beberapa hari menjelang hari pengundian pada Sabtu.
Ezam akan kembali berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) di sini Rabu ini.
"Sama ada Anwar menjawab cabaran saya atau tidak, saya akan dedahkan kandungan surat Anwar kepada Dr. Mahathir yang ditulis pada September lalu," kata beliau selepas ceramah keduanya di sini semalam.
Kelmarin, Ezam bekas Setiausaha Politik kepada Anwar, selain mendedahkan percubaan damai itu, turut mendedahkan tarikh tepat beliau melihat kandungan enam kotak rahsia yang dikaitkan dengan kononnya bukti gejala rasuah pemimpin-pemimpin Umno dan BN semasa berada dalam kerajaan.
Justeru, beliau turut mencabar Anwar sendiri menjawab pendedahan-pendedahan tersebut sebelum memperincikan kedua-dua perkara itu kelak.
Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 20 September.
Ezam berkata, surat dua halaman itu ditulis tangan oleh Anwar sendiri.
Agendadaily.com pula melaporkan Perang antara bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) , Ezam Mohd Nor dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagai hampir ke kemuncak apabila Ezam mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjawab isu ‘surat damainya’ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 8 September 1998, seminggu selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Perang antara bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) , Ezam Mohd Nor dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagai hampir ke kemuncak apabila Ezam mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjawab isu ‘surat damainya’ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 8 September 1998, seminggu selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Malah, berdasarkan ceramahnya di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Ahad malam, Ezam turut mencabar PAS menyatakan pendirian parti itu selepas beliau mendedahkan kandungan surat dua muka surat bertulis tangan yang sekaligus membuktikan Anwar seorang yang munafik serta pembohong.
Katanya surat itu juga akan mendedahkan cara Anwar yang ‘siang lain...malam lain’.
Menurut Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar, beliau akan mendedahkan surat itu beberapa hari lagi sebaik sahaja kembali ke Kuala Terengganu selepas selesai urusannya di Kuala Lumpur, Selasa nanti.
“Saya akan turun lagi ke sini sebelum Sabtu ini (hari pilihanraya kecil) dan akan tunjuk bukti bahawa Anwar seorang yang hipokrit dan penipu. Disebabkan Anwar Ketua Pembangkang, saya juga cabar PAS selepas pendedahan saya nanti untuk nyatakan pendirian serta prinsip parti itu yang sebenarnya, “ kata beliau.
Tegasnya, sebagai parti yang mendokong prinsip mahukan pemimpin yang bersih, PAS perlu tarik balik keputusan mencabar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini selepas pendedahannya nanti.
“Itupun kalaulah PAS ada prinsip. Dulu orang Permatang Pauh tak percaya cakap saya pasal 16 September. Akhirnya tak ada apa pun. Kali ini sama ada Anwar jawab atau tidak (cabaran), saya akan buat (dedah) apa yang sepatutnya,” kata Ezam.
"Saya ingat lagi, malam itu dia bukan main marah, kutuk Perdana Menteri kerana pecatnya, tapi dalam surat itu amat berlainan sekali sikap Anwar yang hipokrit," katanya.
Ezam berkata, beliau akan mendedahkan semua kandungan surat itu kepada pengundi di Kuala Terengganu sebelum Sabtu ini.
Katanya, apa yang berlaku selepas diminta menyerahkan surat itu kepada Tun Dr Mahathir akan diceritakan kemudian.
Beliau juga mengingatkan Anwar supaya bukan sahaja menjawab isu surat itu tetapi turut mencabar Anwar menjawab persoalan enam kotak maklumat yang menjadi isu pada pilihan raya umum di Permatang Pauh dahulu.
Ketika pilihan raya kecil itu pada Ogos lalu, Ezam membangkitkan isu enam kotak rahsia yang disimpan oleh Anwar tetapi penasihat PKR itu hanya membisu.
Bagaimanapun, menjelang pilihan raya Kuala Terengganu, pemimpin Angkatan Muda Keadilan mencabar Ezam mendedahkan mengenai kandungan enam kotak tersebut.
“Di Permatang Pauh, Anwar tak jawab. Di sini, disuruh ‘anak-anak cicak’ serang saya dengan isu itu. Dia (Anwar) ingat saya takut. Di Kuala Terengganu, saya buka gelanggang mahu bertarung dengan Anwar,” katanya yang sudah hilang sabar kerana menaganggapmaruahnya dipijak-pijak oleh pembangkang berkaitan isu enam kotak itu.
Katanya, beliau menyimpan secara rahsia selama 10 tahun surat itu dan tidak mahu mendedahkannya kerana membabitkan maruah.
“Tetapi saya diperleceh, saya dihina kerana isu enam kotak itu sedangkan sebelum ini saya beritahu bahawa Anwar ada menyimpan kotak tersebut,” katanya yang pernah di penjara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membuka rahsia mengenai rasuah pemimpin negara ini semata-mata kerana setia kepada Anwar dan mahu membelanya sebelum ini.
Lebih 1,000 orang mendengar ceramah Ezam serta bekas ketua AMK Johor, Lokman Nor Adam serta bekas ketua AMK Perak Hamdan Taha.
Kini Kuala Terengganu bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut serta seorang calon bebas, tetapi perang berterusan Ezam dan Anwar.
Apapun, Ezam kali ini memilih menggunakan satu peluru bagi menumbangkan dua musuh dengan cabarannya terhadap Anwar dan PAS supaya menyatakan prinsip parti itu sebaik sahaja kandungan surat 8 September 1998 didedahkan kelak.
Pasti igauan 16 September yang menjadi mimpi buruk Anwar kerana gagal menawan Putrajaya beralih kepada igauan baru dengan surat kepada Tun Dr Mahathir juga pada bulan September.
Ezam ada rahsia besar Anwar-Dr Mahathir
Jika selama ini bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor sering dibayangi dengan isu enam kotak dan banyak mendiamkan dirinya apabila dicabar untuk membuktikan kewujudan kotak-kotak dokumen berkenaan, Sabtu malam pada ceramahnya di Kuala Terengganu, Ezam meleraikan isu berkenaan.
Katanya, semasa berada di dalam PKR beliau ada menyebut enam kotak dokumen berkenaan kerana beliau masih ingat tarikh melihat kotak-kota berkenaan yang berada dalam simpanan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 September 1998.
“Saya ingat tarikh itu kerana pada tarikh itu, isteri saya berada dalam bilik bersalin di hospital dan saya menerima telefon daripada Anwar meminta saya datang menemuinya. Saya pergi menemui Anwar dan meninggalkan isteri saya yang hendak bersalin. Pada masa itu saya melihat kotak-kotak dokumen berkenaan.
“Namun ada yang lebih penting pada tarikh itu... saya telah diberikan ‘tugas’ oleh Anwar dan tugas itu ada kena mengena dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Saya cabar Anwar nafikan perkara ini, dan saya sedia mendedahkan apakah ‘tugas’ yang diberikan kepada saya itu,” jelasnya.
Menurut beliau, 'tugas' besar yang dimaksudkannya itu ialah bagaimana Anwar pada tarikh berkenaan telah menulis sepucuk surat kepada Dr Mahathir meminta untuk 'berdamai' setelah beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa melakukan salah laku seks.
Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. ekoran pemecatannya itu, Anwar melancarkan 'serangan' terhadap Dr Mahathir dan mula bergerak ke seluruh negara bagi mencabar keputusan Dr Mahathir memecatnya.
Jelas Ezam, tugas itu menunjukkan sikap sebenar Anwar.
"Setelah menghentam Dr Mahathir sejak dipecat tetapi pada 8 September secara sulit meminta saya untuk membawa surat beliau kepada Dr Mahathir mohon berdamai dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Surat itu ada pada tangan saya sehingga sekarang dan ia menjadi bukti Anwar adalah pemimpin yang hari cakap lain esok dia akan cakap lain...hari ini hentam Dr Mahathir esok nak berdamai pula...pemimpin jenis apa ni," tambahnya.
Kesimpulannya kata Ezam, Anwar adalah pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan dipegang kata-katanya.
Beliau yakin, dengan pendedahan itu, rakyat akan dapat menilai siapa sebenar Anwar dan sikap sebenar Ahli Parimen Permatang Pauh itu.
Ezam juga berkata, beliau perlu mendedahkan perkara berkenaan kerana mahu rakyat tahu siapa sebenarnya Anwar dan mereka tidak terus tertipu dengan helah serta mainan politik Anwar.
“Orang yang bermuka-muka macam ini perlu kita dedahkan agar tidak terus membohongi rakyat,” jelasnya. / Mstar, KLpos, Agendadaily
http://www.klpos.com/news/2009/01/12/3.html
Antara yang hadir mendengar ceramah
Lagi gambar rakyat Terengganu yang hadir. Foto-foto ihsan Agendadaily
No comments:
Post a Comment