Tuesday, January 13, 2009

Onar si kembar


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Sepasang adik-beradik kembar lelaki diberkas polis selepas disyaki mencabul dan memperkosa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di rumah mereka.

Sumber polis berkata, kedua-dua pasangan kembar berusia 17 tahun terbabit ditahan selepas seorang wanita membuat aduan berhubung kejadian cabul membabitkan anaknya yang dihantar untuk dijaga seorang pengasuh.

Menurutnya, dua remaja lelaki itu yang juga anak kepada pengasuh berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tidak bermoral itu ketika ibu mereka tiada di rumah.

“Kejadian itu hanya terbongkar selepas mangsa mendedahkan kejadian dialami kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Susulan laporan itu, polis segera pergi ke rumah pengasuh berkenaan yang terletak di Sunway sebelum menahan suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, polis percaya hanya seorang daripada kembar terbabit melakukan kes cabul berkenaan. Mangsa turut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mendakwa dicabul selain diliwat remaja berusia 18 tahun berhampiran rumahnya di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh di sini.

Difahamkan, mangsa mengalami masalah terencat akal sejak lahir dibawa suspek ke satu kawasan belukar sekitar jam 3 petang Jumaat lalu sebelum dipaksa melakukan seks oral terlebih dahulu.

“Siasatan mendapati mangsa turut diliwat suspek sebelum dibebaskan. Mangsa kemudian pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada bapanya.

“Berikutan itu, bapa mangsa turut membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya sebelum polis berjaya menahan suspek Sabtu lalu,”
katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kebenaran laporan berkenaan dan perkara itu hanya dapat disahkan selepas polis menerima laporan penuh perubatan dari pihak hospital yang memeriksa mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113091555/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...