Tuesday, January 13, 2009
Sebutan kes tuntut mutaah Siti Fairus 2 Februari ini
SHAH ALAM: Permohonan penyanyi popular 80-an, Siti Fairus Sheikh Mohamed, untuk tuntutan mutaah berjumlah RM200,000 dan harta sepencarian daripada bekas suaminya akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 2 Februari ini.
Hakim Syarie Abu Bakar Mohd Daud menetapkan tarikh itu selepas bekas suami penyanyi terbabit, Mohamad Zainuddin Kordi, 46, (defendan) akan memfailkan pembelaan berhubung tuntutan berkenaan.
Peguam syarie, Fakrul Azman Abu Hassan yang mewakili Siti Fairus, 45, (plaintif) dalam prosiding semalam, memberitahu kes berkenaan kali pertama disebut di mahkamah semalam, selepas defendan gagal hadir dalam perbincangan melalui Majlis Sulh sebelum ini.
Menurutnya, defendan sudah melantik peguam dan mahu memfailkan pembelaan berhubung tuntutan mutaah serta harta sepencarian yang dikemukakan plaintif.
Siti Fairus ditemani ahli keluarganya, manakala Mohamad Zainuddin diwakili peguam syarie Wan Nureen Afiza Wan Azmi.
Pada 27 November tahun lalu, Siti Fairus yang popular dengan lagu ‘Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu’ memfailkan kedua-dua tuntutan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Dalam pernyataan tuntutan mutaah yang difailkan mengikut peruntukkan Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Siti Fairus menyatakan sudah banyak berkorban demi kebaikan defendan dan rumah tangga.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113091810/Article/index_html
No comments:
Post a Comment