Friday, January 23, 2009

Dihukum mati cemar susu formula


SEORANG pekerja pasar raya di Wuhan, Hubei mengeluarkan susu keluaran Sanlu daripada rak jualan pada 17 September 2008.

--------------------------------------------------------------------------------


SHIJIAZHUANG - Sebuah mahkamah di China semalam menjatuhi hukuman mati terhadap dua lelaki dan hukuman penjara terhadap 19 tertuduh lain berikutan pembabitan mereka dalam skandal susu formula dicemari melamin.

Bekas pengerusi syarikat tenusu Sanlu Group, Tian Wenhua, 66, yang menjadi dalang utama skandal susu tercemar itu hanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Seramai 21 orang dihadapkan ke mahkamah kerana pembabitan mereka dalam skandal yang menyebabkan enam bayi meninggal dunia manakala hampir 300,000 jatuh sakit.

Melamin dicampur ke dalam susu untuk menipu ujian protein selepas ia ditambah air sekali gus meningkatkan keuntungan.

Seorang suspek, Zhang Yujun dijatuhi hukuman mati kerana didapati bersalah menghasilkan dan menjual sebanyak 600 tan serbuk protein yang dicemari melamin pada Oktober 2007 hingga Ogos 2008.

Sebuk protein itu kemudiannya dibeli oleh orang tengah yang mencampurkan bahan berkenaan dengan susu sebelum ia dijual kepada Sanlu.

Salah seorang lelaki yang yang menjadi orang tengah dalam urus niaga tersebut juga dijatuhi hukuman mati.

Seorang bapa bayi yang jatuh sakit, Liu Donglin berkata, hukuman yang dijatuhkan itu sebenarnya sandiwara kerajaan.

"Mereka semua memang patut dihukum tetapi saya fikir semua tertuduh adalah kambing hitam. Persatuan pengeluar susu dan individu yang bertanggung jawab menguji susu juga patut dihukum," katanya.

Keluarga mangsa dan peguam mereka menimbulkan persoalan mengapa tidak ada pegawai kerajaan yang diheret ke mahkamah berhubung isu itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...