Friday, January 23, 2009
Pondok buruk tempat berteduh
am@hmetro.com.my
Tiga beranak harap bantuan JKM RM300 sebulan, rumah tiada bekalan asas
PORT DICKSON: Akibat kedaifan hidup, sebuah keluarga tinggal di pondok buruk dalam ladang kelapa sawit di Kampung Jawa, Bukit Pelanduk, dekat sini, tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik sejak dua tahun lalu.
Malah, Goh Ah Chee, 71, bersama isterinya, Jenifer Kaban, 49, dan anaknya Goh Hock Lay, 8, bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan turut menumpang di tanah milik penduduk, Ali Napi, 74.
Goh yang berasal dari Tanjung Sepat, Selangor, berkata sebelum ini, dia bercucuk tanam sebagai hasil pendapatan tetapi kini tidak bekerja kerana sudah berusia dan mengharap belas ihsan jiran selain bantuan bulanan JKM.
Menurutnya, dia pernah berkahwin sebelum ini tetapi isteri pertamanya meninggal dunia dan mempunyai tiga anak tinggal berasingan, tetapi tidak meminta bantuan kerana mereka hidup susah lalu mengambil keputusan menetap di tempat tinggal sekarang.
“Inilah tempat kami berteduh sejak dua tahun lalu. Anak-anak bersama isteri pertama tidak banyak membantu saya kerana kehidupan mereka susah, jadi saya tidak mahu menjadi beban mereka.
“Kami bercucuk tanam secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri selain mendapat simpati daripada pihak yang prihatin,” katanya.
Jenifer yang berasal dari Surabaya, Indonesia menetap di negara ini hampir 11 tahun lalu, berkata dia sudah sembilan tahun mendirikan rumah tangga bersama Goh.
Katanya, anak mereka bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yik Chaoh, Bukit Pelanduk, namun semua perbelanjaan persekolahan itu adalah percuma kecuali alat tulis yang perlu dibeli.
“Ali banyak membantu kami dalam bentuk tenaga dan wang ringgit dan kami berterima kasih kepadanya,” kata Jenifer.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr Yeow Chai Thiam yang melawat keluarga itu, berkata biro kebajikan parti berkenaan sedang berusaha mencari penaja bagi membantu keluarga itu.
Beliau turut memuji sikap dan keprihatinan Ali membantu keluarga berkenaan walaupun dia sendiri berada dalam serba kekurangan.
“Ini contoh terbaik dalam menyemai perasaan harmoni dan toleransi tanpa mengira kaum dapat memupuk semangat kekeluargaan serta perpaduan antara kaum,” katanya.
Menurutnya, sumbangan atau derma boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di talian 019-6616999 atau 06-6672624.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123084825/Article/index_html
No comments:
Post a Comment