Friday, January 23, 2009

Singapura guna rizab biaya pakej rangsangan


SINGAPURA - Buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Singapura akan menggunakan rizab persekutuan untuk membiayai sebahagian pakej bantuan berjumlah S$20.5 bilion (RM49 bilion) bagi merangsang ekonomi republik tersebut.

Pakej itu adalah untuk menambah perbelanjaan kerajaan termasuk S$5.1 bilion (RM12 bilion) bagi tujuan latihan dan lain-lain langkah serta S$5.8 bilion (RM14 bilion) bagi merangsang sektor perbankan.

"Pakej rangsangan itu tidak akan membantu Singapura keluar dari kemelesetan tetapi ia dapat membantu mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi," kata Menteri Kewangan, Tharman Shanmugaratnam di Parlimen.

Tambahnya, tidak ada jaminan bahawa 2010 akan menjadi lebih baik berbanding tahun semasa.

Defisit perbelanjaan Singapura untuk 2008/2009 dijangka mencecah S$2.2 bilion (RM5 bilion) atau 0.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Singapura ialah negara pertama di Asia yang mengalami kemelesetan pada tahun lalu sehingga terpaksa menangguhkan projek pembangunan bernilai S$4.7 bilion (RM11 bilion).

Sementara itu dalam isu berkaitan, Tharman turut mengumumkan cukai korporat diturunkan sebanyak satu peratus kepada 17 peratus bagi mengurangkan beban syarikat. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...