Friday, January 23, 2009

Lima Geng Sahabat dicekup


KUALA LIPIS: Lima lelaki warga Indonesia dikenali Geng Sahabat yang terbabit dalam kejadian samun di Kampung Bapong, Padang Tengku, di sini, dan mencederakan seorang peniaga kedai runcit, Isnin lalu, berjaya dicekup polis dalam sekatan jalan raya di Raub, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata selepas kejadian di kampung berkenaan, polis melancarkan gerakan besar-besaran memburu penjenayah terbabit termasuk mendapatkan bantuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan IPD Jerantut.

Menurutnya, sepasukan anggota IPD Raub yang membuat sekatan jalan raya di Tras kemudian menahan dua motosikal ditunggangi dua lelaki warga Indonesia, kira-kira jam 7.20 pagi.

Katanya, polis yang memeriksa motosikal itu menemui pemotong besi, pemutar skru, dua telefon bimbit dan RM25 dalam raga kenderaan itu sebelum menahan seorang lagi penunggang, kira-kira jam 8.40 pagi di lokasi sama.

Beliau berkata, tiga lelaki terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah selain gagal memberi keterangan mengenai semua barangan ditemui ketika disoal siasat.

“Siasatan lanjut mendapati, dua motosikal ditunggangi lelaki terbabit milik jiran mangsa samun di Kampung Bapong dilaporkan hilang sebelum itu.

“Tiga lelaki terbabit mengaku bersahabat mendedahkan dua lagi tempat tinggal rakan di rumah kongsi di Batu 3, Jalan Raub-Lipis sebelum polis membuat serbuan,”
katanya.

Menurutnya, polis kemudian menahan dua lagi suspek di rumah kongsi berkenaan dibawa ke IPD Kuala Lipis untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan Seksyen 379 (a) kerana mencuri kenderaan bermotor.

Dalam kejadian Isnin lalu, peniaga berusia 57 tahun itu cedera di kepala akibat ditetak dengan pisau rambo selepas cuba melawan lima penyamun terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, lima penyamun memecah masuk rumah mangsa selepas memotong jeriji tingkap dapur dan mengikat anak serta pembantu rumah mangsa.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123084912/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...