Friday, January 23, 2009

Minda: Tilik bintang jejas tauhid


Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus


BUDAYA ramalan sebenarnya bukan milik masyarakat tertentu tetapi sudah wujud dalam budaya lain, misalnya Arab pada zaman jahiliyah yang amat terpengaruh dengan tilikan tukang ramal.

Masyarakat Barat juga terdorong untuk mempercayai ramalan horoskop.

Mereka membahagikan individu mengikut bintang melalui tarikh lahir seperti Aries, Pisces dan sebagainya.

Melalui bintang ini mereka membuat ramalan yang bakal berlaku kepada individu berkenaan sepanjang tahun dan bulan, bahkan setiap hari.

Ramalan horoskop turut diberikan ruangan khusus dalam media yang membuktikan ia memiliki pengaruh besar dalam masyarakat.

Jika diteliti asal-usul ilmu ramalan ini, sebahagian besar berpandukan kepada pergerakan bintang di langit atau dipanggil ilmu astrologi. Itulah sebabnya dalam masyarakat Melayu, tukang ramal dikenali ahli nujum.

Perkataan nujum berasal daripada perkataan Arab ‘najm’ yang bermaksud bintang.

Menurut Imam Ibnu Taimiyah, tanjim adalah meramal kejadian di bumi berdasarkan petunjuk keadaan bintang.

Sekiranya kita menyemak firman Allah dalam al-Quran, kita dapati terciptanya bintang di langit dan pergerakannya bukan berperanan untuk menentukan kebaikan atau keburukan perjalanan hidup makhluk Allah di atas muka bumi ini.

Peranan bintang adalah sebagai perhiasan di langit, penunjuk arah perjalanan dan sebagai pelempar syaitan.

“Dan demi sesungguhnya! Kami menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.” (al-Mulk: 5)

“Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.” (an-Nahl: 16)

Seorang tabiin terkemuka Imam Qatadah berpendapat, bagi sesiapa yang melihat hikmah kejadian bintang itu selain tiga perkara di atas, termasuk untuk menetapkan atau meramalkan apa yang bakal berlaku, menyanggahi syarak.

Ilmu ramalan sebegini mencemari tauhid dan boleh membawa kepada syirik kerana seseorang yang mengamal atau mempercayainya akan menyandarkan sesuatu kejadian kepada kekuasaan selain Allah.

Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak Allah semata-mata.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang beriman bertawakal.” (at-Taubah: 51)

Menyandarkan sesuatu musibah itu berkaitan gerakan dan kedudukan bintang adalah perbuatan tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan Allah tanpa faktor lain mempengaruhi keputusan-Nya.

Barangkali ada yang menganggap terdapat tilikan daripada ahli nujum benar-benar menjadi realiti.

Tilikan benar bukan berdasarkan ilmu yang benar cuma secara kebetulan. Ia bertepatan dengan takdir ditetapkan Allah.

Kadang-kadang tilikan mereka dibantu jin yang membisikkan ke telinga pengikutnya dan bisikan jin walaupun kadangkala benar tetapi kebanyakannya dusta, bahkan bertujuan memporak-perandakan hidup manusia.

Aisyah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu kemudian kami dapati ia adalah benar.

Rasulullah menjawab: “Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.”
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Rasulullah s.a.w mencela dengan keras ilmu astrologi dan memberi amaran ia termasuk dalam ilmu sihir yang diharamkan.

“Sesiapa mempelajari sebahagian daripada ilmu nujum (mengkaji bintang-bintang untuk membuat ramalan), maka dia mempelajari sebahagian daripada sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dia pelajari), semakin bertambah pula (dosanya).” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a)

Antara perkara amat dikhuatiri baginda sekiranya menimpa umatnya ialah menularnya budaya mempercayai ramalan ahli nujum.

“Aku khuatir tiga hal pada umatku, kezaliman di kalangan imam, percaya kepada nujum dan dusta terhadap takdir.” (Hadis riwayat Ibnu Asakir daripada Abu Mihjan dan Imam as-Suyuthi)
Rasulullah s.a.w juga menyatakan, mereka yang menemui tukang ramal, termasuk mereka yang menggunakan ilmu astrologi dan mempercayai ramalannya, solatnya tidak diterima selama empat puluh hari, sebagaimana dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim.

Menurut baginda, mempercayai tukang ramal dan ahli nujum satu daripada perkara berbentuk kekafiran, disabdakannya dalam hadis riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya.

Sewajarnya umat Islam menghindarkan diri daripada bertemu tukang ramal, membaca dan mempercayai ramalan menurut ilmu astrologi sebegini.

Kita wajib meyakini segala ilmu mengenai perkara ghaib seperti bakal terjadi pada masa hadapan hanya milik Allah.

Sekiranya umat Islam meletakkan makhluk lain seperti peredaran bintang sebagai punca terjadinya sesuatu perkara, ia termasuk dalam kategori perbuatan syirik dan ternyata syirik satu perbuatan zalim.

Namun, kajian pergerakan bintang, bulan dan matahari bagi menentukan arah angin, arah kiblat, arah sesuatu tempat, keadaan cuaca, kiraan hari, taburan hujan dan sebagainya yang mengikuti kaedah saintifik adalah dibenarkan.

Dalam erti kata lain, Islam mengiktiraf penggunaan bintang dalam bidang astronomi dan ilmu falak.

Penulis ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123094106/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...