Friday, January 23, 2009

MBAS roboh sarang pelacur


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my



ALOR STAR: ‘Riwayat’ sarang pelacuran di Lorong Petani, Jalan Teluk Wanjah di sini yang beroperasi sejak 50 tahun lalu berakhir semalam apabila ia dirobohkan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) bagi membendung gejala maksiat yang berleluasa.

Kawasan sepanjang kira-kira 750 meter di atas tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terkenal dengan aktiviti pelacur murahan itu sudah beberapa kali dirobohkan pihak berkuasa, tetapi ia tetap aktif.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan mengenai kegiatan pelacuran di situ yang menjadi tumpuan ramai termasuk warga emas yang hanya membayar RM17 bagi tempoh 20 minit melakukan hubungan seks dengan pelacur di situ.

Selain itu, kawasan itu dikawal tonto yang memberi maklumat sekiranya pihak berkuasa datang ke situ untuk melakukan serbuan.

Sarang pelacuran dalam kebun pisang itu hanya menempatkan sebuah rumah, dua pondok serta beberapa khemah sebagai tempat pelacur terbabit memberikan perkhidmatan mereka sama ada siang atau malam.

Pengarah Operasi Runtuh MBAS, Md Nayan Bahari, berkata kawasan itu kini diserahkan kepada kontraktor yang menjalankan kerja pembersihan bagi pembinaan landasan berkembar KTMB.

Beliau berkata, operasi merobohkan kawasan itu membabitkan 10 agensi termasuk MBAS, Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), pejabat daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), KTMB dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Operasi yang disertai 150 orang bermula jam 8 pagi itu dilakukan dengan menebang pokok serta merobohkan sebuah rumah serta dua pondok termasuk beberapa khemah dalam kebun pisang yang dijadikan tempat melakukan kegiatan maksiat itu.

“Ketika operasi, semua pelacur yang tinggal di kawasan itu tiada apabila polis sudah membuat pemantauan awal pagi semalam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, tujuan operasi itu untuk membendung gejala maksiat di kawasan itu terus menular kerana bilangan pelacur terus bertambah setiap malam.

Katanya, sepanjang pemantauan di situ oleh pihaknya malam kelmarin, aktiviti pelacuran berjalan seperti biasa sehingga kawasan itu dikosongkan pagi semalam.

Penduduk yang dikenali sebagai Hashim, 50-an berkata, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu lega apabila pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya dalam menangani masalah pelacuran di kawasan itu.

Katanya, sebelum ini, penduduk kurang selesa apabila aktiviti pelacuran di situ mencemarkan kawasan termasuk pandangan orang ramai terhadap penduduk di kampung itu.

“Sekarang semuanya selesai dan dapat kami hidup selesa kerana kawasan ini amat terkenal dengan aktiviti maksiat sejak negara kita merdeka,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123084639/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...