Friday, January 23, 2009

Perginya ikon pop 1970-an


Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my


Mula diperkenalkan pada tahun 1977 dan disiarkan pada 1978 hingga 1984, Fantasy Island menjadi kegilaan dan ikutan masyarakat dunia ketika itu.



--------------------------------------------------------------------------------


UNGKAPAN "Saya Mr. Roarke, tuan rumah anda. Selamat datang ke Fantasy Island" dan "The plane! The plane!"...laung seorang pembantu resort menyambut tetamu. Sudah pasti kata-kata keramat itu tidak akan dilupakan peminat siri drama terkenal tahun 1970-an, Fantasy Island yang menjadi antara siri drama paling banyak ditonton ketika itu.

Drama bersiri tujuh musim itu mengisahkan sebuah resort yang mampu merealitikan impian pengunjungnya. Drama itu dibintangi oleh Ricardo Montalban sebagai Mr. Roarke yang sinonim dengan sepasang sut berwarna putih dan Herve Villechaize sebagai Tattoo yang membawa peranan sebagai pembantu resort.

Mula diperkenalkan pada tahun 1977 dan disiarkan pada 1978 hingga 1984, Fantasy Island menjadi kegilaan dan ikutan masyarakat dunia ketika itu. Drama 60 minit bagi satu episod itu turut dibintangi Christopher Hewett, Wendy Schaal dan Kimberly Beck.


RICARDO Montalban sinonim dengan sepasang sut berwarna putih yang dipakainya dalam drama bersiri Fantasy Island.

--------------------------------------------------------------------------------

Bukan mudah untuk menjadi ikon dan diingati oleh semua lapisan masyarakat dunia sehinggakan setiap ungkapan menjadi siulan peminat sehingga hari ini.

Ekoran memiliki pengikut yang begitu ramai, siri drama itu dilakonkan semula dan ditayangkan pada tahun 1998 sehingga kini. Kali ini, pelakon Malcolm McDowell membawa watak utama.

Tidak dinafikan, Ricardo atau nama sebenarnya, Ricardo Gonzalo Pedro Montalban Merino mula popular melalui drama bersiri Fantasy Island. Populariti drama tersebut membuatkan namanya meniti di bibir peminat seni dunia termasuk di Malaysia.

Tak mahu tukar nama

Dia pernah mengakui bahawa kehadiran pelakon kerdil, Herve Villechaize turut menjadi antara kunci kejayaan siri popular itu.

Dilahirkan pada 25 November 1920 di Mexico City, Ricardo merupakan anak kepada seorang pengurus stor, Jenaro Montalban dan Ricarda Merino. Ibu bapanya adalah imigran dari Sepanyol yang berhijrah ke Mexico. Dia mempunyai seorang abang yang juga pelakon, Carlos Montalban serta seorang kakak, Carmen.


SAKIT tulang belakang dan pendarahan pada leher telah melumpuhkan aktor ini.

--------------------------------------------------------------------------------

Ketika remaja, Ricardo berpindah ke Los Angeles dan tinggal bersama Carlos yang telah dahulu bertapak dalam dunia seni. Kemudian kedua-duanya berhijrah ke New York pada tahun 1940. Tidak lama selepas itu, Ricardo berjaya mendapat watak kecil dalam drama Her Cardboard Lover yang turut dibintangi Tallulah Bankhead.

Bagaimanapun, Ricardo pulang ke Mexico tidak lama selepas itu apabila mendapat tahu ibunya sedang sakit dan tidak akan hidup lama. Di tanah airnya, Ricardo telah menghasilkan beberapa filem Sepanyol dan mula mencipta nama.


RICARDO Montalban bersama pelakon wanita, Rita Morena pada tahun 1984.

--------------------------------------------------------------------------------

Selepas kematian ibunya, Ricardo berhijrah ke Hollywood. Dia pernah memberitahu bahawa pihak studio mahu menukar namanya kepada Ricky Martin tetapi dia menolak. Dalam penglibatan awal di Hollywood, dia sering mendapat watak orang Asia terutama yang berlatar belakangkan negara Jepun seperti filem Sayonara dan Hawaii Five-O: Samurai.

Ricardo kemudiannya mendapat watak utama yang pertama menerusi filem Border Incident yang dilakonkan bersama George Murphy pada tahun 1949. Sepanjang tahun 1950-an hingga 1960-an, dia merupakan satu-satunya pelakon hispanik yang aktif.


BERSAMA isterinya, Georgiana Young.

--------------------------------------------------------------------------------


KEJAYAAN Fantasy Island juga banyak dibantu oleh pelakon kerdil, Herve Villechaize.

--------------------------------------------------------------------------------

Ikon pop paling popular

Tidak dinafikan kariernya semakin bersinar dan menjadi antara ikon pop paling popular ketika itu apabila dia memegang watak Mr. Roarke dalam siri Fantasy Island.


BERSAMA isteri dan empat anak-anaknya.

--------------------------------------------------------------------------------

Selain itu, dia juga dikenali sebagai Khan Noonien Singh dalam filem Star Trek II: The Wrath of Khan dan sanggup menerima bayaran sebanyak RM350,000 sahaja kerana terlalu menyukai watak Khan tersebut.

Ketika membawa watak dalam filem tersebut, terdapat khabar angin yang mengatakan Ricardo menggunakan kostum khas bagi menampakkan dadanya yang sasa. Ini kerana ketika penggambaran filem tersebut, dia sudahpun berusia 60 tahun.

Rakan-rakan yang turut sama dalam penggambaran filem itu mempertahankannya dengan berkata, dada yang sasa seperti yang dilihat dalam filem Star Trek II adalah asli. Manakala Leonard Nimoy di dalam bukunya yang bertajuk I Am Spock, menjelaskan bahawa Ricardo merupakan seorang yang sangat aktif secara fizikal dan sentiasa bersenam. Justeru, katanya, otot-otot yang ditonjolkan di dalam filem tersebut adalah miliknya.

Selain Star Trek II, Ricardo pernah muncul dalam pelbagai genre filem seperti filem aksi, The Naked Gun: From the Files of Police Squad! sehinggalah filem, Planet of the Apes serta siri Spy Kids.

Dia juga pernah muncul dalam filem muzikal, antaranya The Singing Nun pada tahun 1966 yang turut dibintangi Debbie Reynolds. Pada masa yang sama, Ricardo pernah membawakan watak gengster Jepun dalam Hawaii Five-O (1968), Hawaii Five-O: Samurai pada 1968 serta pernah diuji bakat untuk memegang watak utama bergandingan dengan Esther William dalam filem Fiesta.

Mengenai pencapaiannya dalam industri seni, dia pernah dicalonkan bagi kategori Aktor Terbaik (Muzikal) sempena Broadway's pada 1958 dan Tony Award dalam filem Jamaica.

Sebelum dia mencipta nama dan dikenali sebagai pelakon popular, Ricardo telah mengahwini pelakon Georgiana Young pada tahun 1944 dan dikurniakan empat orang anak iaitu Laura, Mark, Anita dan Victor.

Setelah 63 tahun usia perkahwinan, Georgiana Young de Montalban meninggal dunia pada 13 November 2007 ketika berusia 84 tahun.

Terjatuh dari kuda

Ricardo mengalami kecederaan tulang belakang setelah terjatuh dari kuda ketika penggambaran filem Across the Wide Missouri pada tahun 1951. Kecederaan itu menyebabkannya berjalan tempang, bagaimanapun dia berjaya 'menyembunyikan' kecacatan itu sehingga penggambaran berakhir.

Pada tahun 1993, Ricardo hilang deria rasa di bahagian kaki dan pemeriksaan perubatan mendapati dia mengalami pendarahan di leher, sama seperti kecederaan yang pernah dialaminya sebelum itu. Berikutan itu, Ricardo telah menjalani pembedahan selama sembilan jam setengah di Pusat Perubatan UCLA.

Di sebalik kesakitan itu, aktor ini masih berupaya untuk berlakon dalam siri televisyen terbitan Aaron Spelling bertajuk Heaven Help Us. Dia juga terbang ke San Antonio dua kali sebulan pada tahun 1994 untuk menjalani penggambaran selama dua atau tiga hari.

Penderitaan akibat sakit tulang belakang dan lumpuh sebelah badan berakhir apabila Ricardo meninggal dunia pada 14 Januari 2009. Ricardo menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles pada usia 88 tahun kerana sakit tua.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...