Friday, January 23, 2009
Sukar cari penumpang
Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
Pemandu teksi, kereta sewa mengeluh pendapatan terjejas
MELAKA: Sebahagian besar pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini mengeluh akibat memperoleh pendapatan yang berkurangan serta sukar mendapat pelanggan berikutan kesan daripada kemelesetan ekonomi yang melanda dunia ketika ini dan sikap berjimat cermat orang ramai.
Difahamkan, kebanyakan pemandu teksi dan kereta sewa terbabit mendakwa hanya mampu memperoleh pendapatan purata harian antara RM50 hingga RM60 sahaja yang terpaksa ditolak dengan kos minyak.
Pemandu kereta sewa, Jaafar Selamat, 54, dari Tengkera, mendakwa sejak kebelakangan ini, dia sukar mendapat penumpang dan terpaksa menunggu sehingga tengah hari walaupun sudah memulakan kerja sejak jam 8 pagi setiap hari.
Katanya, kadang kala dia hanya mendapat dua perjalanan sahaja dalam sehari, tetapi agak bernasib baik pada hujung minggu apabila mampu memperoleh pendapatan sekitar RM100 jika mendapat penumpang warga asing.
“Pada masa ini, saya berasa memang sukar mendapatkan penumpang walaupun untuk jarak dekat, malah penumpang yang hendak pulang jauh dari bandar pula cuma sekali-kali sahaja diperoleh.
“Bayangkanlah, kalau setiap perjalanan caj tambang yang dikenakan sebanyak RM10 atau paling tinggi RM15 berdasarkan pada jarak perjalanan (trip), sudah tentu pendapatan kami tidak mencukupi jika hanya mendapat dua trip sahaja setiap hari,” katanya ketika ditemui di perkarangan Terminal Teksi di Melaka Sentral, semalam.
Sementara itu, rakannya, Pahmi Sabtu, 60, dari Limbongan, berkata dia hanya memperoleh pendapatan antara RM40 hingga RM50 sehari dan kini semakin teruk apabila penumpang untuk perjalanan jauh seperti Johor atau Kuala Lumpur amat jarang diperoleh.
Katanya, bagi mengatasi masalah pendapatan, dia sanggup memandu teksinya ke mana sahaja asalkan ada penumpang memandangkan keadaan semakin sukar akibat kesan kegawatan ekonomi.
“Jika ada penumpang yang hendak menaiki teksi untuk perjalanan jauh, mereka boleh dianggap seperti kes kecemasan kerana pengguna yang tidak mempunyai hal begitu penting sudah pasti akan menaiki bas ekspres yang jauh lebih murah tambangnya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123091510/Article/index_html
No comments:
Post a Comment