Friday, January 23, 2009
Tiga ahli Geng Black curi motor dicekup
KUALA LUMPUR: Kegiatan sekumpulan Mat Rempit yang aktif melakukan samun bermotosikal di sekitar ibu negara dan beberapa daerah di Selangor terbongkar apabila tiga ahli Geng Black diberkas polis dalam dua serbuan berasingan, baru-baru ini.
Difahamkan, kumpulan samun dianggotai sembilan lelaki berusia 20-an itu beroperasi pada waktu malam dengan berkumpul di beberapa lokasi pilihan di ibu kota terutama di Dataran Merdeka dan sebuah kedai makanan laut di Bukit Bintang, di sini.
Semua Mat Rempit itu akan melepak di kawasan berkenaan sehingga tengah malam sebelum memulakan misi memburu mangsa di lokasi terpencil atau kawasan perumahan dengan menunggang motosikal.
Sejurus sasaran dikenal pasti, lima daripada mereka yang bertopi keledar penuh akan menyerang dan menyamun mangsa, manakala selebihnya ditugaskan mengawasi keadaan sekeliling serta kehadiran pihak berkuasa.
Sekiranya mangsa berdegil dan cuba melawan, penjenayah berkenaan akan bertindak ganas dengan mencederakan mangsa menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, kegiatan kumpulan itu terbongkar apabila tiga daripada mereka berusia 20 hingga 28 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 30 Disember 2008 dan 4 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata melalui maklumat dan risikan, pihaknya menahan dua lelaki dipercayai ahli kumpulan itu di sekitar Wangsa Maju, kira-kira jam 5.30 pagi.
“Hasil soal siasat selama empat hari seterusnya membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek di Selayang dan semua mereka bekerja sebagai budak penghantar surat serta mekanik penghawa dingin.
“Kami (polis) mengenalpasti enam lelaki termasuk ketua kumpulan itu yang digelar ‘Black’ dan sedang mempergiatkan usaha memburu mereka untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123095352/Article/index_html
No comments:
Post a Comment