Friday, January 23, 2009

Mindanao menggamit simpati, bantu saudara seislam


Azamin Amin
Wed Jan 21, 09 3:17:50 pm MYT

Peristiwa penculikan 21 orang tebusan rakyat Malaysia yang oleh kumpulan Abu Sayyaf pada 24 April 2000 tiba-tiba menerpa ke benak hati saya. Tidak lupa, mendapat perhatian dunia sekitar 2005, kematian Ghalib Andang atau Komander Robot,pemimpin utama Abu Sayyaf yang ditembak tentera Filipina.

Malah wajah tokoh terkemuka yang sering terpampang di dada akhbar suatu ketika dulu, pemimpin Bangsamoro yang menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari sering terbayang dan silih berganti di kaca fikiran.Kini perjuangan itu diteruskan pula oleh Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Segalanya mengambil tempat dan berpunca di sini, Mindanao, Filipina. Saya mohon dilindungi Allah SWT dan diberi peluang untuk menjejaki perjuangan dan kesengsaraan Bangsamoro di sana.


Oh ya! Kami tiba di Marawi City jam 8.00 malam dengan ditumpangi oleh tiga orang penduduk tempatan ketika kami singgah di warung kaki bukit di Balado. Sewaktu menyusuri untuk sampai ke penginapan kami seterusnya, kelihatan kiri-kanan jalan teredapat rumah-rumah kayu dan buluh kepunyaan.

Itupun saya lihat dalam kedaan samar-samar dek api lilin yang menyinari rumah yang tiada bekalan elektrik meskipun kawasan Balado merupakan pusat sumber bekalan elektrik ke seluruh Mindanao.

Tiba di penginapan yang terletak di dalam sebuah kawasan Universiti Mindanao State, Marawi City, kami disambut oleh Dr Safarallah, Presiden Bangasamoro Develepoment Agency (BDA) serta ayahnada Anwar yang sememangnya menantikan kepulangan anaknya itu. Anwar pulang hanya pulang ke kampung dua kali setahun isteri tercinta dan empat orang anaknya.

Kasihan juga, selama empat tahun beliau membiayai sendiri belanja pengajiannya tanpa sebarang biasiswa ataupun bantuan sesiapa malah terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya demi menuntut ilmu. Azam saya suatu hari nanti, mungkin boleh sampaikan zakat kepadanya setelah Anwar pulang kembali ke UIA, Gombak nanti. Anwar termasuk dalam lapan asnaf yang layak terima zakat.

Hari ini masing-masing terlalu penat. Selesai solat, makan-makan tiba masa untuk melelapkan mata kira-kira jam 11.30 malam. Saya ditempatkan bersama Azhan, Ismail dan Tajuddin dalam sebuah rumah kayu yang agak luas juga. Kawasan pesekitaran sini sunyi dan dingin kerana dikelilingi pokok-pokok yang rimbun serta berhampiran hutan.

Saya kemudiannya keluar bilik untuk bertemu Husin dan Dr. Shah ketika kedua-duanya sudah berada di katil masing-masing untuk melabuhkan mimpi mereka.Tujuannya hanyalah menyiapkan tugasan, menerumah mereka.

"Jika berlaku bencana, AMAL yang pertama kali tiba, tetapi yang akhir sekali tidur ialah pemberita," kata saya berseloroh sambil diketawakan Husin dan Dr. Shah.Bukan sahaja mereka tetapi sembilan orang berjaya ditemuramah sehingga jam 1.30 pagi.

10 DISEMBER - Hari Raya Ketiga - Aidiladha

Hari ini sebelum menyembelih empat ekor lembu lagi, kami bersarapan di Ranao Royalle, sebuah restoran kecil di pekan Marawi. Dr Safarallah juga ada dan sempat juga saya menerumah untuk mengetahui perkembangan terkini bantuan kemanusiaan dan tentang agensi yang ditadbirnya. Beliau kemudiannya membawa kami ke SMD Hospital Marawi City dimana beliau merupakan Presidennya.

Marawi mempunyai populasi mencecah 200,000 di 21,000 penempatan manakala bahasa yang digunakan ialah Maranao. Hampir 100 peratus penduduknya beragama Islam dan sumber ekonomi mereka ialah pertanian, penternakan dan mendulang emas.

"Sebab itulah kerajaan tidak melepaskan hak kemerdekaan kepada Mindanao kerana dua sumber utamanya ada di sini iaitu minyak dan emas," jelas Dr. Safarallah kepada saya.

Ketika perjalan menuju Hospital berkenaan, di tengah-tengah pekan, sebuah pacuan empat roda memberhentikan kenderaan kami. Keluar dua lelaki berbaju celoreng siap bersenjata M16.

Pucat juga seketika. Rupanya kedua-duanya mengarahkan sebuah kenderaan di belakang kami untuk dilakukan peperiksaan. Laras senapang siap siaga menghala ke arah kenderaan itu. Apa nasibnya tidak diketahui setelah jeep kami memecut laju menuju ke destinasi seterusnya.

Kedatangan AMAL diraikan dan dihargai apabila sekaligus kami menjadi tetamu dalam satu majlis "Induction of SSG Officers and Senior Officers SMD Hospital" semacam majlis suai kenal petugas baru dan kakitangan Hospital,dihadiri kira-kira sejumlah 200 orang.

Bayangkan mereka cukup ramah dan teruja bergambar. Kakitangannya menyambutkan kami umpama selebriti terkenal apatah lagi setelah diberitahu bahawa dalam rombongan ini turut serta seoarang Juara Akademi Nasyid Malaysia.

Setelah Husin dan Dr Safgarallah berucap di majlis itu, hadirin dihiburkan pula dengan persembahan Azhan yang menyampaikan tiga buah lagu nasyid dengan nada lunaknya. Ramai yang pegun, kagum dan kemudiannya bertepuk tangan gemuruh selesai persembahannya. Kelihatan dua orang kakitangan hospital mengalir air mata kerana merasa terlalu syahdu dengan nyayian Azhan.

Di luar Hospital, Anwar yang kebetulan turut serta menunjukkan sebuah janakuasa elektrik sementara yang pernah 'dihadiahkan' secara peribadi oleh Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang menjadi alat sokongan ketika bekalan elektrik terputus di hospital tersebut.

Ustaz Nasharuddin menghadiahkannya pada tahun 2007 ketika datang ke Marawi dan merupakan rakan akrab kepada Peguam Hak Asasi Manusia Marawi Blo Umpar Adiong.

"He's very good. Also this man, this and this man. (Dia baik, begitu juga orang ini dan ini. Saya kenal mereka," kata Anwar yang membelek akhbar Harakah yang saya bawa walaupun dia tidak faham bahasa melayu. Gambar yang dibeleknya Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Kamaruddin Jaffar.Sebilangan pemimpin Bangsamoro juga difahamkan mengenali tokoh-tokoh dalam PAS.

Sedang sibuk merakamkan gambar ketika Husin melakukan sembelihan, seorang lelaki lengkap beruniform dan bersenjata dikenali sebagai Samo menghampiri kumpulan kami. Setelah bersalam, beliau menjelaskan bahawa Datuk Bandar Marawi City Sultan Fahad 'Pre' Salic mengarahkankan Ketua Polis,beliau dan beberapa anggota polis memantau dan menjaga keselamatan kami sepanjang menjalankan ibadah korban dan akikah di bandar ini.

Bermula dari situ, dua lokasi yang kami pergi kemudiannya diiringi oleh anggota polis. Sebenarnya sejak rombongan kami tiba di Minadanao sejak 7 Disember lalu, sentiasa ada sahaja anggota tentera atau polis mengekori dan memerhati pergerakan kami daripada jarak jauh.

Selesai tugas lewat petang, kami kemudiannya berangkat ke Cagayan De Oro jam 4.00 petang dan perjalanan memakan masa tiga jam lagi. Penat sangat. Terencat sikit waktu rehat, tidur dan makan akibat jadual yang begitu padat.

Dalam jeep sambil sembang-sembang dengan pemandunya Abu Khalid tentang perkembangan terkini, saya mencatit sesuatu di nota. Katanya pertempuran yang berlaku di Basilan, menyebabkan ramai anggota tentera Filipina terbunuh.Lazimnya pejuang Mujahidin akan melakukan serang hendap.

"Bagaimana dengan Tatapan, tempat yang kami lalui semalam. Tahu apa terjadi?" tanya saya lalu dia menggeleng kepala. Beliau kemudian menjelaskan kerajaan Filipina sedang menawarkan kira-kira 5 juta Peso kira-kira RM350,000 kepada sesiapa yang menangkap salah seorang daripada tiga Komander MILF antaranya Komander Bravo.

"Kumpulan Abu Sayaff bagaimana? Benarkah mereka suka menculik orang?" Tanya saya kepadanya.

"Takk...yang rajin menculik dan jadikan orang awam tebusan ada dua kumpulan Komunis di Filipina ini tetapi mereka sering menuduh Abu Sayaff bertanggungjawab.

Sampai di Cagayan De Oro jam 7.00 malam, semua hotel yang berhampiran, habis ditempah. Nyaris sebuah hotel, Will Shire Inn ada kekosongan dan berhampiran dengan sebuah bangunan kedai yang digunakan sebagai masjid dan di depannya sebuah satu-satunya warung Islam.


Kami 'check -in' jam 10.30 malam. Saya ditempatkan bersama lima yang lain.Ketika itu Dr. Faizol dalam keadaan yang agak teruk. Gastrik dan pening katanya. Beliau terlentang dan cuba melelapkan mata.

"Tiada ubatkah? Selalunya doktor ada bawa ubat 'spare'." "Tak ada..sebab semua ubat yang saya bawa telah kita serahkan di khemah pelarian perang kesemuanya. Tak ada satu pun yang tinggal." Subhanallah ikhlasnya hati sampai untuk kegunaan sendiri pun tidak ada, bisik hati saya.

11 DISEMBER - Sehari sebelum pulang ke Malaysia

Rakan-rakan kebanyakan berjalan kaki untuk solat subuh di Masjid berhampiran kira-kira jam 4.30 pagi Saya dan Dr Faizol hanya di bilik penginapan.Lepas solat terus terbabas, penat.

Kami bersarapan di Maharlika Balik Islam, sebuah warung kepunyaan Ahmad Salleh, seorang pendakwah Islam Bangsamoro. Jangan terkejut, walaupun ianya terpencil dan layak digelar kedai mini namun di dalamnya sarat dengan rahsia yang tersirat.

Dalam kedai kecil ini yang hanya boleh memuatkan 6 orang pelanggan, 1 tukang masak dan 1 pelayan dalam satu masa namun mempunyai sebuah bilik kecil seumpama konti untuk mengendalikan siaran radio yang dikenali sebagai DXMR 105.8 FM, Radio Islam. Wah! Kendalikan radio di kedai makan.

Manakala terdapat puluhan buku-buku rujukan agama seperti mimi perpustakaan dan di sini jugalah operasi akhbar Islam pertama di Filipina diberi nama 'The Banner of Islam - The First Islamic Newspaper in the Filipina' dilakukan.

"Wah! Ada kembar Harakah di sini rupanya. Mana Ketua Pengarangnya?," tanya saya dalam bahasa Inggeris sepatah-sepatah pada pelayan yang hanya dikenali sebagai Makcik Fatimah berusia kira-kira 50an. Dia menggeleng sambil menunjukkan aksi tangan mencantas lehernya.

"Hah kena potong leher? Mati?!" tanya saya kaget. Mat Amin dan Azhan yang ada bersama tergelak melihat gelagat saya.

"Azamin....Azamin..dia kata orang itu pergi sembelih lembulah, Korban!," kata Mat Amin menjelaskan sambil saya tergelak. Makcik itu mengangguk.

Keadaan warung itu sedikit suram, lalu saya dengan isyarat tangan serta berkata "Lamp! Lights!" untuk makcik itu membuka lampu kalimantan di kedainya. Dia mengangguk lagi, lalu membawa sebekas kuih apam kepada kami.

Aduhai, masalah bahasa nampaknya. Kasihan makcik itu, bersusah payah dia memahami permintaan kami dan sedaya upaya melayan yang terbaik.

"Alhamdullilah kita dah sempurnakan tugas kita. Walaupun banyak kelemahan yang perlu diperbaiki namun hajat orang ramai kita dah tunaikan," Husin tiba-tiba bersuara.
Umpama menutup majlis, kami masing-masing meluah segala isi hati yang terbuku.Ada yang sedih dan mahu lakukan sesuatu perubahan malah ada yang mahu datang lagi.
Kami kemudiannya bersiap-siap pula ke Cagayan De Oro Airport untuk menaiki kapal terbang ke Manila, Filipina.

Lewat jam 4.30 petang, kapal terbang meluncur laju ke ruang angkasa untuk sampai ke Manila dan esoknya 12 Disember, kami akan menjejak semula ke tanahair membawa 'khabar sedih' penderitaan umat Islam untuk dijadikan iktibar rakan-rakan dan kaum keluarga, betapa kehidupan kita jauh lebih baik daripada mereka di sana.

Di dalam kapal terbang, fikiran saya mula menerawang. Kerisauan dan kegembiraan caca marba, bercampur aduk. Apa khabar ibu, isteri dan anak-anak. Selepas itu tanggungjawab yang berat menanti saya selaku Penolong Pengarang Harakahdaily.

Resah saya seketika apabila sejumlah 543 keping gambar berjaya dirakamkan, 4 wawancara penuh, 20 biji bateri digunakan, 4 buah buku nota, 3 kaset rakaman, RM150 untuk kredit telefon bimbit yang kini tinggal hanya RM20.00 telah diguna pakai, 4 kali mengikuti penerbangan, 5 kali menaiki pacuan empat roda, 4 buah pusat khemah pelarian dilawati, sejumlah 32 lembu dan 80 kambing berjaya dikorbankan, belasan ribu ringgit telah didermakan kepada hampir lebih 10 pemimpin Bangsamoro dan penjaga rumah anak-anak yatim ditemui apatah lagi perjalanan penuh sejarah ini dibiayai pula oleh Harakah.

Gelisah membayangkan bagaimanakah dengan kelengkapan 'senjata-senjata ini' dan 'data maklumat' yang ada di kepala selama 6 hari, kira-kira 120 jam mampu saya 'cernakan' serta dipersembahkan dengan terbaik untuk tatapan pembaca Harakah dan Harakahdaily.Mana yang kurang mohon dimaafi.

Begitu terhutang budi kepada Harakah dan AMAL yang memberi peluang cukup indah nan manis bagi saya secara tidak langsung bermuhasabah diri, bahawa jauh di sudut dunia, ada saudara yang hidup beralasakan tanah berbumbungkan langit malah tidak mampu untuk berhibur jauh sekali bersantai lantaran kepayahan yang sangat menghimpit.

Mereka, kais pagi belum tentu dapat makan pagi.Kais petang untuk makan malam berbanding kita, yang Allah lipat-gandakan rahmat yang patut disyukuri nikmat. Takbir! - azm

(Sebarang kritikan dan pandangan bolehlah dimajukan kepada saya di email azaminamin@yahoo.com Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )

(Yang mengikuti perjalanan enam hari Misi AMAL ke Mindanao dan tulisan ini merupakan bahagian akhir rakaman kisah pahit manis di sana)


http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=018971&Itemid=35

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...