Friday, January 23, 2009

Perkosa gadis sunti jiran


GOMBAK: Rahsia kemurungan seorang kanak-kanak yang biasanya menyambut kepulangan ibu dengan ceria dan senyuman akhirnya terjawab apabila mangsa mengadu menjadi mangsa rogol jiran.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu bukan hanya menjadi mangsa angkara nafsu jirannya itu, malah turut dipukul ketika meronta untuk melepaskan diri.

Suspek berusia 40-an itu merogolnya dalam kejadian di sebuah rumah penempatan sementara di Batu Caves di sini pada jam 10.30 pagi kelmarin.

Perasaan curiga ibu mangsa juga mula timbul selepas melihat pakaian anaknya yang carik ditambah dengan wajah murung dan tangisan akibat menahan sakit.

Difahamkan, suspek tidak berhati perut itu menekap mulut mangsa untuk mengelakkannya menjerit dan perbuatan terkutuknya itu disedari orang ramai.

Lebih mengejutkan apabila ibu mangsa yang memeriksa kemaluan mangsa sejurus anaknya itu mengadu sakit hampir pengsan apabila melihat kesan kecederaan yang dialami.

Ibu bapa mangsa yang berang dengan kejadian itu memanggil suspek berkenaan bagaimanapun, dia yang berlagak selamba menafikan dakwaan kanak-kanak berkenaan dan menganggap mangsa sengaja mereka cerita.

Bagaimanapun, suspek seorang warga Indonesia mula panik dan menggeletar apabila ibu bapa mangsa memanggil polis dan dia akhirnya mengaku melakukan perkara terkutuk itu sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah berikutan kedua ibu bapanya keluar bekerja manakala kakaknya pelajar tingkatan lima berada di sekolah.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata suspek yang menyedari mangsa berseorangan di rumah berpura-pura kononnya untuk melihat kanak-kanak berkenaan, tetapi selepas menyedari peluangnya untuk melakukan niat jahatnya terbuka dia terus dan merogol kanak-kanak itu.

“Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan terhadap kemaluan mangsa mendapati terdapat kesan koyakan serta kecederaan serius dipercayai akibat dirogol.

“Selain itu kami turut mengambil sampel air mani dari pakaian mangsa untuk ujian makmal,”
katanya.

Menurutnya, susulan laporan yang dibuat itu, polis menahan lelaki berkenaan yang juga jiran kepada mangsa untuk membantu siasatan.

“Polis akan menjalankan siasatan mengenai kes ini dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kami sedang menunggu laporan ujian makmal manakala suspek dan mangsa sudah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123095238/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...