Friday, January 23, 2009

Obama angkat sumpah sekali lagi


BARACK OBAMA melafazkan sumpah dihadapan Ketua Hakim John Roberts di White House, Washington kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama terpaksa mengangkat sumpah kali kedua gara-gara beliau dan Ketua Hakim, John Roberts tersasul ketika majlis angkat sumpah Selasa lalu.

Bagaimanapun, Obama kembali menarik nafas lega selepas upacara angkat sumpah di White House kelmarin itu berjalan dengan lancar.

Walaupun kesilapan teknikal itu tidak membatalkan sumpah Obama di hadapan 1.8 juta orang di Washington Selasa lepas, beliau dinasihatkan supaya mengangkat sumpah semula bagi mengelakkan perkara tidak diingini pada masa depan.

Sebelum ini, isu serupa menyebabkan dua Presiden terdahulu, Calvin Coolidge dan Chester A. Arthur terpaksa mengangkat sumpah dua kali bagi mengelak kesahihan mereka sebagai Presiden AS dipertikai.

Sementara itu, seorang pegawai White House menyatakan bahawa Presiden kulit hitam itu akan menandatangani arahan untuk menutup penjara Teluk Guantanamo dalam tempoh setahun sekali gus mengotakan janjinya sebelum ini.

Kewujudan penjara di Cuba itu dikritik masyarakat antarabangsa termasuk Suruhanjaya Eropah kerana melanggar hak asasi manusia.

Penutupan itu merupakan antara tiga arahan Obama bagi meningkatkan integriti pentadbiran beliau.

Presiden AS itu dijangka mengubah prosedur perbicaraan dan soal siasat terhadap tahanan suspek pengganas termasuk Al-Qaeda dan Taliban bagi mengelakkan unsur penyeksaan.

Hari kedua beliau di White House menyaksikan Obama melantik seorang diplomat AS berpengalaman, George Mitchel sebagai Utusan Khas ke Asia Barat.

Pelantikan Mitchel, 75, adalah sejajar janji beliau untuk segera menangani cabaran dan permasalahan di Asia Barat dan beberapa rantau lain di seberang laut.

Semalam juga menyaksikan Obama menelefon beberapa pimpin dunia iaitu Presiden Mesir, Hosni Mubarak; Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert; Pemerintah Jordan, Raja Abdullah dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...