Tuesday, February 10, 2009

Barisan Exco Perak angkat sumpah esok


 PANGKOR: Barisan baru Exco kerajaan negeri Perak akan diumumkan esok dengan disusuli majlis angkat sumpah.

Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung senarai anggota Exco tersebut.

Zambry berkata, senarai nama Exco berkenaan akan hanya diumumkan pada majlis mengangkat sumpah Exco kerajaan negeri Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar yang dijadualkan esok.

Ketika ditanya sama ada barisan Exco baru itu akan mengandungi muka lama dan baru, beliau menjawab: "Itu pasti, kita akan wujudkan keseimbangan, faktor kebolehan dan sebagainya kerana rakyat ingin melihat sedikit sebanyak perubahan... yang pasti akan ada wanita."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat projek pembangunan pelancongan dan sesi dialog pihak industri bersama Menteri Besar dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said di Telok Dalam Resort, di sini, hari ini.


KUALA KANGSAR: Beberapa jalan di Kuala Kangsar terutama yang menghala ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan akan ditutup kepada orang ramai mulai pukul 8 pagi sehingga tamat majlis mengangkat sumpah anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Iskandariah esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, jalan yang terlibat ialah dari bulatan jam besar hingga ke Istana Iskandariah, Jalan Daeng Sedili dan Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan hingga Jalan Tun Razak dan Jalan Kuala Kangsar hingga ke pusat bandar.

"Tiada sebarang pergerakan sama ada kenderaan atau pun pejalan kaki dibenar melalui jalan itu kecuali kenderaan yang berpelekat dan jemputan rasmi," katanya.

Semua jalan itu hanya akan dibuka semula selepas majlis selesai dan apabila polis merasakan keadaan selamat dan terkawal.


Mengenai tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih belum mahu melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak, Dr. Zambry berkata sifat berebut-rebut seperti yang ditunjukkan oleh Mohammad Nizar itu adalah kebudak-budakan.

"Saya tidak suka berubut-rebut, buat apa nak berebut-rebut, waktu dia masuk sebagai Menteri Besar dulu, pun kita tak berebut. Jadi saya nasihatkan kepada Nizar minta dia istighfar banyak-banyak.

"Dalam ajaran Islam apabila kita marah-marah kita kena kawal, itu yang diajar oleh Rasulullah," katanya.

Berhubung tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak membenarkan Nizar berpindah dari kediaman rasmi Menteri Besar, Dr. Zambry berkata beliau menyerahkan soal itu kepada budi bicara setiausaha kerajaan negeri yang menjalankan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"Bagi saya bukan soal kediaman atau kereta rasmi, pokoknya apabila menjawat jawatan Menteri Besar adalah untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Biarlah dia (Nizar) cakap untuk duduk di rumah itu, hati saya adalah untuk rakyat, katanya.

Dr. Zambry juga ditanya mengenai tindakan liar penyokong parti pembangkang yang datang dari luar Perak untuk mengadakan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar selepas Barisan Nasional berjaya mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

"Saya menasihatkan kepada rakan-rakan di luar Perak, apa kata sekiranya penyokong-penyokong kita (BN) datang daripada luar, apa akan berlaku kapada kawasan kita?

"Sepatutnya dalam keadaan begini kita sepatutnya memberi ketenangan, mengajak rakan-rakan supaya bersabar menghadapi krisis ini... kalau kita hendak bermain dengan emosi, tetapi ke mana akhirnya?," katanya.

Sementara itu, Azalina melahirkan rasa kesal dan malu dengan perkembangan terbaru politik di Perak yang turut mendapat liputan di luar negara akibat tindakan keterlaluan pembangkang yang dilihat boleh menjejaskan ekonomi dan industri pelancongan negara.

Beliau berkata, ketika parti pembangkang berjaya merampas lima buah negeri pada pilihan raya umum lepas, ia tidak pernah menjadi isu dan menimbulkan masalah kerana konsep diamalkan pemimpin BN adalah taat setia kepada raja dan rela melepaskan jawatan dan itu adalah hakikat politik.

"Saya minta kepada Nizar, apabila Sultan berikan kepadanya jawatan Menteri Besar, kita (BN) terima, jadi sekarang apabila Sultan beri kepada Zambry, saya minta dia pun kena terima.

"Saya harap kalau boleh Perdana Menteri tetapkan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada mereka yang mewujudkan perbalahan kaum, yang mewujudkan kebencian dan menggugat ekonomi... bagi saya ada justifikasi untuk dikenakan ISA," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/9/mstar_berita/20090209152638&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...