Tuesday, February 10, 2009

Pilihanraya kecil: DAP cadang Nizar berentap di Bukit Gantang, Adun Bukit Selambau 'surrender'

09 Feb 2009 11:27PM

ALOR SETAR: Kedah akan menghadapi satu pilihan raya kecil apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan berkuat kuasa serta merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengesahkan perkara itu memberitahu, beliau menerima surat peletakan jawatan Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau dan Exco kerajaan negeri menerusi dua pucuk surat yang dihantar kepadanya dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail petang tadi.

Menteri Besar menjelaskan, beliau telah mengadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu`adzam Shah bagi memaklumkan peletakan kedua-dua jawatan Arumugam itu sejurus selepas menerima surat berkenaan.

Mstar Online pula melaporkan anggota Exco Kedah, V. Arumugam mengosongkan jawatan tersebut dan juga sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Selambau.

Ia diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di sini pukul 9 malam tadi.

Sidang media itu merupakan yang kedua dalam tempoh 12 jam hari ini.

Tengah hari tadi beliau mengesahkan Arumugam melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Beliau berkata surat peletakan jawatan Arumugam itu bertarikh 8 Februari dan diterima oleh beliau pada pukul 5 petang tadi yang lengkap dengan tandatangan dan cop Pesuruhjaya Sumpah.

"Dukacita saya memaklumkan bahawa beliau (Arumugam) telah meletakkan jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau dan juga Anggota Exco Kerajaan negeri berkuat kuasa serta merta," kata beliau pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini.

Azizan berkata sepucuk surat peletakan jawatan wakil rakyat itu turut diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dr. Abd Isa Ismail.

Abd Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbudin dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kedah Ahmad Kassim turut menghadiri sidang media itu.

Azizan berkata Arumugam, menerusi seorang wakilnya, telah menghantar dua pucuk surat iaitu sepucuk mengenai peletakan jawatan ADUN yang ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sepucuk lagi kepada beliau untuk memaklumkan peletakan kedua-dua jawatan iaitu Exco Kerajaan Negeri dan ADUN.

"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku (Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) dan persembahkan surat peletakan jawatan Arumugam itu," katanya.

Beliau berkata Speaker DUN akan memaklumkan mengenai peletakan jawatan ADUN itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan pilihan raya kecil kawasan berkenaan diadakan.

Azizan berkata beliau masih belum dapat menghubungi Arumugam sehingga sekarang dan beliau sedih dengan apa yang berlaku kerana menyifatkan Arumugam sebagai seorang wakil rakyat yang baik.

Mengenai tindakan Arumugam yang meletak jawatan, Azizan berkata: "Ia adalah amalan biasa dalam kalangan ahli politik, ramai orang meletak jawatan dan ia bukanlah sesuatu yang baru."

Mengenai sama ada terdapat kemungkinan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat akan melompat parti menyertai BN, beliau berkata: "Sekarang memang begitu rancak lompat-melompat dan orang 'offer untuk cross over' tetapi kena ingat ada 'traffic light'".

Sementara itu, Abd Isa berkata beliau akan memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN Bukit Selambau itu pada esok pagi.

Ahmad pula berkata PKR akan mengadakan mesyuarat khas pra pilihan raya, termasuk pemilihan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau esok.

Perkembangan itu turut membuka laluan kepada pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi sebentar tadi berkata, pihaknya akan meneliti kesemua dokumen berkaitan sebelum menentukan tindakan susulan.

"Kami juga akan melihat Perlembagaan Negeri Kedah apabila menerima notis pemakluman kekosongan," kata beliau ketika ditanya sama ada akan mengadakan pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau.

"Malah, Presiden Parti (PKR) dan Ketua Umum juga sudah mengetahui mengenai perkara ini," kata beliau ketika dihubungi di Perak.

Tambah beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat PKR akan mengumumkan langkah susulan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu esok.

Difahamkan Arumugam yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India, mengambil keputusan itu atas masalah peribadi.

Sementara itu di Ipoh Bernama melaporkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata, adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.

“Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada PAS untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini / Utusan, Bernama, Mstar, Foto Malaysiakini


Daulat Tuanku.. Lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum berhimpun dalam satu rapat umum raksasa di Ipoh. Turut berucap Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar kecil)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...