Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu.
Dan mereka pula berkata: "(Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah, dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)". Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah SWT - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya". Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam? (ali-'Imran: 78-80)
Al-Maraghi berkata: "Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan tentang golongan ketiga daripada Ahli Kitab. Mereka adalah sebahagian daripada pendeta Yahudi yang berada di sekitar kota Madinah dan pendeta-pendeta lain yang seangkatan dengan mereka.
"Mereka telah melakukan suatu perbuatan khianat lain terhadap agama dengan mengaku bahawa Allah SWT berfirman tentang sesuatu, padahal sebenarnya tidak."
Sebab Nuzul ayat ke-78
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa golongan ini adalah orang Yahudi yang datang kepada Ka'ab Ibn al-Asyraf, seorang tokoh yang sangat memusuhi Rasulullah SAW dan banyak menyakiti hati serta mengganggu baginda.
Mereka inilah yang mengubah kandungan Taurat dan menulis sebuah kitab dengan mengubah keterangan mengenai ciri-ciri Nabi Muhammad SAW.
Buku yang mereka susun ini dijadikan pegangan oleh Yahudi Bani Quraizah, lalu mereka mencampuradukkan dengan kitab suci yang ada pada mereka. Ketika mereka membaca kitab, mereka membacanya dengan mengubah ucapannya, sehingga menimbulkan keraguan pada orang ramai bahawa yang dibaca itu adalah Taurat.
Ibn Jauzi menyebut, pendapat kedua bahawa ayat ini diturunkan kepada golongan Yahudi dan Nasrani seperti riwayat al-Dahaq daripada Ibn Abbas r.a.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata: "Mereka berkata dengan dusta. Ayat ini mencela keras perbuatan mereka dan menyatakan sifat mereka yang kurang ajar sekali. Mereka bukan sahaja mengatakan yang dusta itu secara samar-samar, bahkan secara terang-terangan hingga menggunakan nama Allah SWT.
"Ini kerana mereka tidak lagi berasa takut kepada Allah SWT dan beranggapan bahawa dosa apa pun yang mereka lakukan akan diampuni, kerana mereka adalah penganut agama Allah SWT".
ii. Hamka berkata: "Di dalam ayat ini disebutkan laiyan bin alsinatihim, yang bererti dengan memutar-mutarkan lidah mereka. Ada beberapa kalimat yang jika diubah walau sedikit akan berubah makna dengan ketara.
Umpamanya dalam bahasa kita di antara kembang dan kumbang, madu (manisan lebah) dengan bermadu (perempuan yang bermadu) dan lain-lain.
Ka'ab bin Asyraf dengan teman-temannya tergamak membaca kitab sucinya sendiri dan memutar belitkan perkara yang benar dan sahih serta memungkiri kerasulan Muhammad SAW. Beliau dengan berani mengatakan bahawa itu adalah isi Kitab Taurat.
iii. Al-Biqa'i dalam tafsirnya berkata: "Contoh sifat putar belit mereka dengan membaca ayat yang menjelaskan perubahan hukum terhadap yang berzina, iaitu kata farjumuhu yang bererti lemparlah ia dengan batu dengan farhamuhu bererti kasihanilah ia."
iv. Al-Sonhadji berkata: "Sekumpulan mereka yang disebutkan dalam ayat ini ialah orang-orang Yahudi seperti : Ka'ab bin al-Asyraf, Malik bin al-Soif, Huyai bin Akhtob dan Abu Yasir serta Syu'bah bin Amr, seorang penyair.
"Mereka adalah orang-orang yang sangat memusuhi Nabi SAW. Mereka menjadi kaki belit dengan membacakan isi kitab yang bercampur dengan karangan yang mereka tulis, lalu mendakwa kepada orang ramai itulah Taurat".
Sebab nuzul ayat ke-79
Ibn Ishaq dan lain-lain meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a, katanya: Ketika para pendeta Yahudi dan Nasrani dari Najran berkumpul di sisi Rasulullah SAW, dan baginda mengajak mereka kepada Islam, Abu Rafi' al-Quraziy berkata: Wahai Muhammad, apakah engkau ingin kami menyembahmu seperti orang Nasrani menyembah Isa a.s?
Lalu seorang lelaki Nasrani dari Najran berkata: "Atau seperti itukah yang tuan inginkan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Aku berlindung kepada Allah SWT, daripada menyembah selain Allah atau menyuruh manusia menyembah selain Dia. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat ini".
Abd al-Razzaq meriwayatkan daripada al-Hasanah katanya: "Telah sampai berita kepadaku, bahawa seseorang telah berkata: Wahai Rasulullah SAW, kami pasrah kepadamu, seperti pasrahnya sebahagian kami terhadap sesama kami kerana itu apakah kami boleh sujud kepadamu?"
Sabdanya: "Tidak, tetapi hormatlah nabi kamu dan kenalilah hak kepada ahli keluarganya kerana tidak patut seseorang sujud kepada yang lain selain Allah SWT". Lalu Allah SWT menurunkan dua ayat ini.
Ayat ini diturunkan kepada Kristian Najran ketika mereka menyembah Isa a.s. Inilah pendapat al-Dahaq dan Muqatil.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Abbas r.a berkata, maksud 'manusia' itu ialah Nabi Muhammad SAW. Dan maksud 'kitab' ialah al-Quran. Kerana Abu Rafi' (daripada orang Yahudi) dan al-Saiyid (daripada orang Nasrani Najran) berkata: "Ya Muhammad! Adakah engkau mahu kami sembah, dan kami jadikan Tuhan?"
Jawab Baginda: "Allah SWT lindungkan aku daripada menyuruh kamu beribadat kepada-Nya".
ii. Ali bin Abi Talib berkata, golongan Rabbani ialah yang mengajar manusia dengan hikmah dan tarbiyah mereka.
iii. Ibn Abas r.a dan Ibn Jubair berkata, golongan Rabbani ialah ahli fikah yang mengajar manusia.
iv. Qatadah dan Ata' pula berpendapat, golongan Rabbani ialah ahli fikah yang mempunyai ilmu dan hikmah.
v. Abu Ubaid berkata: "Aku mendengar seorang lelaki berkata maksud Rabbani adalah ulama yang mengetahui berkenaan halal dan haram, perintah dan larangan".
vi. Ibn al-Ambari berkata, sebahagian ahli bahasa berpendapat: "Perkataan Rabbani dinisbahkan kepada Rabb, kerana ilmu daripada apa yang ditaati dengannya".
vii. Al-Maraghi berkata, barang siapa mengajak orang lain menyembah dirinya, bererti dia telah mengajak manusia menjadi penyembah selain Allah SWT, meskipun dia tidak melarang atau menyuruh mereka menyembah Allah SWT.
viii. Hamka berkata, di dalam ayat ini Rasulullah SAW disuruh menyampaikan kepada manusia hakikat kesetiaan Nabi-nabi termasuk diri baginda sendiri, nabi-nabi yang terdahulu termasuk Nabi Isa a.s.
Bahawasanya setelah menerima tiga kemuliaan dari Allah SWT iaitu diturunkan kepada mereka kitab dan diberi pula hukum untuk membezakan hak dan batil, adil atau zalim, dan dilengkapi semuanya itu dengan nubuwwat, lalu dia berlaku curang kepada amanat yang diturunkan Allah kepadanya itu, menyeru kepada umatnya menyembah selain Allah SWT dan disuruh menjadi hamba kepada diri sendiri.
Dalam ayat ini, Nabi Muhammad SAW mengatakan tidak mungkin dan mustahil bagi seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah bertindak sedemikian rupa. Ini kerana itu adalah pengkhianatan kepada yang Maha Esa dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
Amat sesuai ayat ini dirangkaikan dengan ayat terdahulu bahawa pengkhianatan kepada janji adalah khianat yang paling besar.
ix. Mohamad Quraish Shihab berkata, mereka yang dianugerahi kitab, hikmah dan kenabian menganjurkan semua orang agar menjadi rabbani dalam erti semua aktiviti, gerak dan langkah, niat dan ucapan kesemuanya seiring dengan nilai-nilai yang disuruh oleh Allah SWT.
x. Seorang Rabbani menurut ayat ini paling tidak melakukan dua perkara. Pertama, terus-menerus mengajarkan kitab suci dan kedua terus-menerus mempelajarinya.
Pengertian terus-menerus itu, difahami dari bentuk kata kerja mudhari yang digunakan ayat ini untuk kedua hal tersebut.
Sebab nuzul ayat ke-80
Diriwayatkan daripada Ali Ibn Abu Talib r.a bahawa beliau berkata: "Dua golongan yang memberatkan punggungku, iaitu orang alim yang langgar larangan Allah SWT dan orang bodoh yang rajin melaksanakan ibadah. Ini kerana orang alim seperti itu menjauhkan manusia daripada mempelajari larangan-larangan agama, manakala orang bodoh pula akan membuat manusia menyukai kebodohannya yang tekun beribadah".
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata, golongan jahil di kalangan pendeta dan guru yang sesat termasuk dalam celaan ini. Bersalahan dengan Rasul serta pengikut mereka di kalangan ulama yang beramal di mana mereka memerintah apa yang diperintah Allah SWT dan melarang apa yang dilarang oleh Allah SWT.
ii. Al-Maraghi berkata, apakah (Nabi SAW) pernah menyuruh kamu menyembah malaikat dan sujud kepada para nabi setelah mereka menyuruh mengesakan Allah SWT dan mentaati-Nya dengan ikhlas.
Jika benar baginda berbuat begitu, maka perbuatan seperti itu adalah kafir, hilang kenabiannya, dan lenyap imannya. Seseorang yang Allah anugerahkan al-Kitab, hikmah dan diangkat sebagai nabi adalah orang yang paling mengerti tentang Allah SWT.
Justeru, orang yang diberikan wahyu oleh Allah SWT, hanyalah orang yang jiwanya benar-benar bersih dan rohaninya benar-benar baik. Oleh itu tidak mungkin terjadi kenabian berkumpul menjadi satu pada diri yang mengajak manusia menyembah selain Allah SWT.
iii. Hamka berkata: "Dia (Nabi Muhammad SAW) tidak mengajak orang lain untuk bertuhankan dirinya sendiri, tidak pula bertuhankan Malaikat serta Nabi-nabi yang lain.
"Dia hanya mengajak manusia supaya mentaati Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malaikat adalah hamba Allah yang paling taat dan hanya mengerjakan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka.
"Di antara malaikat itu ialah Jibril a.s yang disebut Rasul Amin (Roh yang dipercayai), disebut juga Ruh al-Qudus (Roh yang suci), penghulu segala Malaikat, namun diapun tidaklah disuruh mempertuhankannya".
iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, penyebutan para malaikat dan Nabi-nabi pada ayat ini hanya sekadar contoh. Yang dimaksud adalah selain Allah seperti bulan, matahari, atau leluhur.
Hanya malaikat dan Nabi-nabi yang disebut oleh ayat ini kerana itulah yang disembah oleh masyarakat jahiliah dan orang Yahudi serta Nasrani.
v. Al-Sonhadji berkata, perbuatan mereka yang sedemikian adalah serupa dengan perbuatan orang-orang kafir Quraisy dan al-Sobbin, yang mendakwakan bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak perempuan Allah, juga seperti kaum Yahudi yang mendakwa Uzair anak Allah dan kaum Nasrani mendakwa Isa al-Masih anak Allah.
Allah memurkai mereka dengan menyatakan bahawa perbuatan sebegitu sangat keterlaluan kerana mereka menyeru orang berada dalam kekufuran sedangkan mereka berada di dalam keIslaman.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kelebihan golongan rabbani yang memahami isi kandung kitab Allah serta mengamalkannya. Mudah-mudahan kita menjadi golongan seperti itu.
No comments:
Post a Comment