Saturday, May 16, 2009

Buka pintu lepas setengah jam


Norman Hakim berjalan bersama Memey Suhaiza ketika menghadiri perbicaraan kes khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam – UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ


KUALA LUMPUR 15 Mei – Walaupun hanya berseluar pendek ketat paras paha dengan baju T putih dibasahi peluh, namun pelakon Norman Hakim tidak cemas ketika diserbu penguat kuasa agama.

Saksi pertama perbicaraan kes khalwat artis berusia 33 tahun itu, Abdul Rahman Lai Abdullah memberitahu, Norman juga dapat berkomunikasi dengan lancar.

Katanya, pada mulanya Norman enggan memberikan kerjasama dan mempersoalkan tindakan penguatkuasa serta tidak melayan pertanyaan yang diajukan.

Pasangannya, Memey Suhaiza Suhaimi, 21, yang ditangkap di tingkat bawah premis rumah kedai serta pejabat itu pula lengkap berpakaian dan berseluar panjang.

Menurut Abdul Rahman, kedua-dua artis tersebut tidak ditangkap di tingkat yang sama di premis pejabat di pejabat di No. 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini .

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini juga diberitahu, penghuni premis itu mengambil masa setengah jam untuk membuka pintu meskipun diketuk dan diberi amaran berkali-kali dalam serbuan kira-kira pukul 2.40 pagi, 30 Oktober 2008.

‘‘Bukan sahaja tiada sebarang respons diberikan oleh penghuni premis malah lampu pejabat juga tidak dibuka. Tetapi saya ada terdengar bunyi jeriji besi dilanggar sesuatu namun tidak pasti dari arah mana. Oleh itu, saya pasti ada orang di dalam.

‘‘Tidak lama kemudian, rakan saya, Khairul Azri Sulaiman dihubungi oleh pengadu (namanya tidak didedahkan) yang memaklumkan bahawa pasangan disyaki berkhalwat juga ada menyewa premis di tingkat atas,’’ kata Abdul Rahman.

Ketika pihaknya hendak memotong mangga pintu gerigi besi, tiba-tiba muncul abang Norman, Mohamed Sofi Zaidon dan anggota penguatkuasa dapat masuk ke dalam premis setelah pintu dibuka oleh lelaki tersebut.

Katanya, beliau ternampak Memey sedang duduk di atas kerusi di depan kaunter masuk dan wanita itu ketika ditanya mengaku telah menghubungi Mohamed Sofi.

Sepanjang berada di situ, Abdul Rahman mengatakan, Memey nampak tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak banyak bercakap.

‘‘Kami terus memeriksa bilik, salah satunya, terdapat set sofa dan ada tilam bersaiz bujang di atas lantai. Tetapi tiada sesiapa di dalam. Ada sebuah bilik pejabat dan satu lagi, bilik mesyuarat,’’ kata saksi.

Seterusnya Abdul Rahman memberitahu, pihaknya telah meninjau dan memanjat ruang laluan angin di bahagian belakang yang turut dipasang jeriji besi tetapi keadaan di situ gelap gelita.

Menurut beliau, pihaknya telah memotong mangga pintu premis bahagian atas kerana tiada kunci.

‘‘Premis tersebut gelap dan apabila lampu dibuka, kami memeriksa semua ruang termasuk bilik air. Ada sebuah bilik, banyak pakaian disusun dengan elok. Bilik tengah pula, ada banyak pakaian yang digantung kemas. Terdapat sebuah katil bujang tanpa tilam dalam bilik itu namun tiada orang.

‘‘Kami memeriksa satu ruang dipanggil yard dan saya mendapati tombol pintu berkunci dari dalam,’’ ujar Abdul Rahman.

Katanya sejurus tombol dipusing dan ditolak, tiba-tiba muncul Norman dari belakang daun pintu dalam keadaan berpeluh-peluh.

Belum sempat ditanya tujuan berada di ruang sempit itu, menurut Abdul Rahman, Norman mendakwa, dia terdengar bunyi bising di bahagian bawah dan hendak meninjau apa yang berlaku.

Sepanjang perbicaraan, Norman dan Memey duduk bersebelahan di samping peguam syarie mereka, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Selain kerap mengerling ke arah Norman, Memey yang sentiasa tersenyum acap kali berbisik ketika saksi memberikan keterangan.

Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...