Saturday, May 16, 2009

Pening tiba-tiba

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


SEREMBAN: Seorang pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, di sini, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), semalam selepas dimasukkan ke wad petang kelmarin apabila mengadu demam ketika sedang menjalani latihan kawad kaki.

Pelatih yang hanya dikenali sebagai Mohammad Fathrin, 22, berasal dari Sabah, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.30 petang, sebelum itu dia dikatakan berasa tidak sedap badan dan pening kepala secara tiba-tiba ketika menjalani latihan kawad.

Berikutan itu, pengurusan pusat latihan berkenaan membawanya ke Hospital Jempol (HJ) untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun Mohammad Fathrin dirujuk ke HTJS selepas keadaannya semakin serius.

Jurucakap polis berkata, Mohammad Fathrin mengadu mengalami pening kepala ketika menjalani latihan kawad kaki kira-kira jam 9 pagi sebelum dihantar ke HJ untuk rawatan sebelum dihantar ke HTJS selepas keadaan dipercayai semakin serius.

“Bagaimanapun, belum sampai 24 jam berada di hospital ini (HTJS), mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi tadi (semalam) dan setakat ini kami tidak mengetahui punca kematiannya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HTJS, di sini.

Jurucakap itu berkata, pihaknya difahamkan Mohamad Fathrin tidak mengalami sebarang penyakit sebelum memasuki atau memulakan latihan di pusat itu pada akhir Mac lalu, kerana setiap pelatih sudah disahkan sihat oleh pegawai perubatan.

Menurutnya, malahan arwah juga tidak menunjukkan sebarang tanda tidak sihat sebelum itu dan mampu mengikuti program latihan seperti yang sudah ditetapkan oleh pusat latihan berkenaan.

“Perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan kami agak terkejut serta tidak menyangka berita pemergiannya, kami ingat dia hanya mengalami demam biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Dr Zainal Ariffin Omar, berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada Mohammad Fatrin menghidap meningitis atau dijangkiti wabak influenza A (H1N1).

Beliau berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan mayat Mohammad Fathrin dibawa ke bilik Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat Kementerian Kesihatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk bedah siasat.

“Saya hanya dapat mengesahkan ada berlaku kematian membabitkan seorang pelatih Pulapol Ayer Hitam, Jempol hari ini (semalam) tetapi punca kematiannya tidak diketahui.

“Saya berharap orang ramai tidak panik sebaliknya mematuhi nasihat pihak berkuasa dari masa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga,”
katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini.

Katanya, orang ramai yang mengalami tanda jangkitan terutama demam, batuk, selesema dan sakit tekak perlu mendapatkan rawatan segera di hospital.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090515091054/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...