dayana@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Jemaah haji yang bakal berangkat ke Tanah Suci bermula tahun ini dijangka perlu membayar kos lebih tinggi berbanding musim sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata kadar baru dianggarkan mencecah RM10,000 bagi setiap jemaah, dikenakan selepas meneliti beberapa aspek pembaharuan terutama dari segi kemudahan pengangkutan dan penginapan jemaah sepanjang melakukan ibadat itu.
Bagaimanapun, katanya kerja pembangunan dan menaik taraf kemudahan asas sedang giat dilakukan di Makkah serta Madinah dan kerajaan Malaysia masih menanti pengumuman kadar baru tambang haji daripada kerajaan Arab Saudi.
“Buat masa ini pelbagai kerja pembangunan sedang rancak dilakukan termasuk pembesaran Masjidil Haram dan secara tidak langsung dapat menampung jumlah jemaah yang semakin ramai,” katanya selepas merasmikan Persidangan Haji dan Umrah 2009 ke-3 (Incomthu 09), di sini, semalam.
Menurutnya, selain pembesaran masjid dan pembinaan hotel baru, sistem pengangkutan dinaik taraf supaya jemaah dapat bergerak dengan lebih lancar dan selesa.
“Kerajaan Arab Saudi juga sedang melaksanakan kerja menambah baik sistem pengangkutan supaya semua jemaah dapat menunaikan ibadat haji dalam keadaan selesa,” katanya.
Jamil Khir berkata, aspek penginapan jemaah di hotel juga mengalami perubahan dan penambahbaikan apabila mereka tidak lagi perlu berkongsi sehingga 10 orang dalam satu bilik seperti sebelum ini.
“Jika selama ini ada jemaah yang terpaksa berkongsi bilik dengan enam atau tujuh rakan, selepas ini kami akan pastikan setiap jemaah mendapat penginapan lebih selesa sepanjang mengerjakan ibadat haji,” katanya.
Menurutnya, semua pembaharuan itu memungkinkan kadar tambang perlu dinaikkan namun, perkembangan akhir bergantung kepada keputusan kerajaan Arab Saudi.
Dalam pada itu, Jamal Khir berkata, pihaknya melakukan pemantauan dengan bekerjasama Lembaga Tabung Haji serta agensi pelancongan bagi memastikan masalah jemaah haji terkandas akibat ditipu agensi swasta, tidak berlaku lagi.
“Saban tahun, kami mendengar masalah mengenai jemaah tertipu dengan agensi pelancongan swasta dan kami akan melaksanakan pemantauan lebih hebat bagi memastikan masalah seumpama itu tidak mengganggu jemaah yang ingin menunaikan ibadat,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090515085409/Article/index_html
No comments:
Post a Comment