Saturday, May 16, 2009

Bungkus bayi sampai mati

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Cukup kejam apabila seorang wanita berusia 27 tahun sanggup membungkus dan menyorokkan bayi yang dilahirkannya Isnin lalu di bawah katil selama beberapa hari sehingga bayi itu meninggal dunia dan mayatnya membusuk.

Lebih malang, kejadian itu berlaku sehari selepas seluruh dunia menyambut Hari Ibu pada 10 Mei lalu dengan tembelang wanita dari Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau dekat sini, itu hanya terbongkar selepas dia mengalami pendarahan dan kesakitan di perut yang kuat tengah hari kelmarin.

Difahamkan, ibu bapa wanita terbabit kemudian menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Sik (HS).

Sumber berkata, sebaik menjalani pemeriksaan di HS, doktor mendapati terdapat kesan gadis itu melahirkan anak tetapi cuba disangkal ibu bapanya yang tidak pernah mengetahui anak mereka mengandung sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, polis yang dimaklumkan HS mengenai kes itu kemudian menyoal wanita terbabit yang akhirnya mengaku melahirkan anak Isnin lalu.

“Pada mulanya, wanita terbabit yang malu dan ketakutan cuba merahsiakan di mana bayi itu dengan mendakwa sudah ditanam di belakang rumahnya. Namun, selepas didesak barulah dia memberitahu bayi dilahirkan itu disembunyikan di bawah katilnya.

“Ekoran laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Selambau kemudian membuat pemeriksaan di rumah wanita berkenaan kira-kira jam 3 petang semalam (kelmarin) dan menemui satu bungkusan plastik hitam tersorok di bawah katilnya,”
katanya. 

Sumber itu berkata, pemeriksaan kemudian mendapati bungkusan plastik itu mengandungi mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan sudah berbau dibalut dengan sehelai kain.

Menurutnya, mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini kira-kira jam 10 malam kelmarin untuk dibedah siasat.

“Wanita cacat sebelah matanya itu tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Kuala Sin dekat Bukit Selambau berjaya mengelak daripada ibu bapanya mengetahui yang dia mengandung. Malah, ketika melahirkan anaknya itu ibu bapanya tiada di rumah,” katanya.

“Jika tidak kerana mengalami sakit perut dan dimasukkan ke hospital, pasti keluarganya dan pihak berkuasa sendiri itu tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Sementara itu, bapa dan abang gadis itu yang datang menuntut mayat bayi berkenaan di Jabatan Forensik HSAH pagi semalam enggan untuk ditemu bual mengenai kejadian itu.

Bapanya hanya mengaku begitu terkejut kerana tidak pernah mengetahui anaknya itu mengandung atau melahirkan bayi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan berkata polis sedang menyiasat kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090515091907/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...