Saturday, May 16, 2009

8 remaja ghaib ditemui

Oleh Rudy Syareme Sheriffuddin
am@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Polis menyelamatkan lapan remaja berusia 16 tahun termasuk empat yang dilaporkan hilang di Johor sejak Selasa lalu di Flet Saujana Lebuh Maccallum di sini, petang semalam.

Lima remaja terbabit dari Johor termasuk tiga perempuan, manakala tiga lagi iaitu dua lelaki dan satu perempuan dari Kelantan.

Dalam pemeriksaan di flet itu kira-kira jam 6.30 petang, sepasukan anggota dari Balai Polis Jalan Patani diketuai Cif Inspektor Jamaluddin Ismail, turut menahan seorang wanita berusia 21 tahun.

Semua mereka ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata Selasa lalu, polis Permas Jaya, Johor Bahru menerima laporan daripada seorang bapa mengenai kehilangan anaknya berusia 16 tahun.

Polis dimaklumkan, remaja itu itu keluar bersama tiga lagi rakannya ke destinasi tidak diketahui ketika waktu persekolahan.

Berdasarkan maklumat awal, polis mendapati empat pelajar itu menaiki sebuah bas dari Johor Bahru menuju Pulau Pinang dan tiba di terminal bas di Butterworth pada hari yang sama.

Selepas itu, empat pelajar terbabit menaiki sebuah teksi ke flet berkenaan.

“Petang tadi (semalam) anggota kami membuat pemeriksaan di flet itu dan menemui lapan remaja termasuk empat pelajar dari Johor di rumah itu.

“Selepas semakan terhadap identiti remaja terbabit dilakukan, seorang daripadanya adalah anak kepada pengadu yang membuat laporan di Balai Polis Permas Jaya,”
katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, malam tadi.

Polis turut menemui pakaian, beg dan telefon milik remaja terbabit di dalam rumah itu.

Ayub berkata, siasatan mendapati wanita itu yang berasal dari Kelantan, tinggal di rumah berkenaan sejak setahun lalu dan bekerja di sebuah salun di sini.

Siasatan juga mendapati tiga remaja dari Kelantan yang turut ditahan tidak bersekolah lagi. Polis juga akan mendapatkan maklumat dalam telefon bimbit remaja terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, polis menyiasat motif sebenar remaja terbabit datang ke negeri ini termasuk kemungkinan didalangi sindiket tertentu untuk dieksploitasi bagi kegiatan tidak bermoral.

“Kami memandang serius kes ini dan sedang menyiasat perkara sebenar,” katanya sambil menjelaskan polis akan menghubungi keluarga remaja terbabit bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090515092651/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...