Diragut semasa tunggang motosikal
IDA Fatmawati Ghazali, 27, bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), rugi kira-kira RM3,000 selepas diragut ketika perjalanan pulang ke rumah sewanya di Pandan Indah dari sebuah syarikat pengiklanan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 28 April dua tahun lalu.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa menunggang motosikal sendirian untuk menuju ke rumah sewanya sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal lalu meragut beg tangan yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya.
Dia yang terkejut dan panik dengan kejadian tersebut menceritakan insiden itu berlaku sekelip mata. Ida yang kehilangan beberapa dokumen dan barang peribadi termasuk telefon bimbit, wang tunai, kunci rumah dan kad pengenalan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada hari kejadian.
Dia menasihati penunggang motosikal khususnya golongan wanita agar tidak meletakkan beg tangan di dalam bakul sebaliknya menggalasnya di bahu ketika menaiki kenderaan tersebut.
Diragut semasa guna telefon bimbit
SEORANG pensyarah wanita di sebuah universiti tempatan, Dorothy Misir, 31, tidak menyangka tarikh 3 Mac 2005 menjadi pengalaman hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa ragut sebaik sahaja keluar dari sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa ditemani dua rakan wanitanya baru sahaja keluar dari kompleks membeli-belah terbabit dan sedang leka berbual dengan rakannya melalui telefon bimbit. Tiba-tiba beg tangannya diragut oleh seorang pembonceng motosikal.
Dorothy mengakui sejak kejadian itu, dia tidak lagi menggunakan telefon bimbit sambil berjalan dan sentiasa memerhati keadaan sekitar ketika keluar bersiar-siar.
Diragut ketika tunggu teksi
SITI Salwana Mohd. Ragam, 21, seorang suri rumah sehingga kini masih trauma selepas beg tangannya diragut dua lelaki bermotosikal ketika menunggu teksi di sebuah perhentian di hadapan Hospital Kuala Lumpur, penghujung April lalu.
Ketika kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan.
Mangsa turut meluahkan rasa kecewanya dengan sikap orang ramai di tempat kejadian yang hanya 'membatu' dan melihat sahaja kejadian tersebut tanpa menghulurkan bantuan.
Dia menjerit meminta tolong ketika kejadian, malangnya usahanya itu hanya sia-sia apabila mereka yang berada di situ tidak mempedulikan dirinya.
No comments:
Post a Comment