Saturday, May 16, 2009

Keperluan yang sering diabaikan suami isteri

Jumaat Mei 15, 2009

SEBELUM sesuatu pasangan hendak diijabkabulkan, Penolong Pendaftar Nikah (juru nikah) akan bertanya kepada pengantin sesuatu yang asas tentang Islam dan perkahwinan. Antara soalan yang penting ialah, apa yang wajib bagi suami setelah diijabkabulkan?

Kebanyakan bakal suami memberi jawapan yang agak betul, iaitu memberi nafkah zahir dan batin. Apabila ditanya apakah yang dimaksudkan dengan nafkah zahir, dia menjawa, beri makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Jawapan yang cukup cemerlang.

Tetapi apabila ditanya apa pula yang dimaksudkan dengan nafkah batin, dia terdiam tidak dapat menjawab. Biasanya kalau tidak menjawab adalah kerana tidak tahu atau malu nak jawab. Ya, dalam soalan ini ternyata dia malu hendak menjawab.

Kenapa dia malu? Dia malu kerana jawapan yang dimaksudkan ialah seks. Itulah sebabnya dia tersipu-sipu nak jawab. Tetapi benarkah jawapan itu? Di sinilah kesilapan umat Islam yang jawapan itu telah lama diwarisi entah sejak bila.

Sebenarnya, jawapan itu salah kerana nafkah yang sebenarnya hanya satu itu nafkah zahir. Tetapi boleh juga disebut nafkah batin dengan merujuk kepada memberi didikan ilmu agama kepada isteri. Batin atau jiwa isteri perlu dididik ke arah kebaikan dan ketakwaan serta keimanan.

Nafkah inilah yang sering diabaikan oleh suami. Dan atas sebab itulah mengapa berlaku masalah rumah tangga yang sukar diselesaikan.

Menyentuh soal seks, suka dijelaskan di sini bahawa ia satu keperluan yang Allah sediakan kepada makhluknya. Allah bekalkan keinginan seks kepada manusia sama seperti yang diperlukan binatang. Tetapi keperluan itu dibezakan dengan perkahwinan yang sah untuk menambahkan keharmonian rumah tangga.

Allah sebutkan dalam al-Quran, “kamu pakaian bagi mereka dan mereka juga pakaian bagi kamu,” (al-Baqarah) adalah hendak menunjukkan betapa lelaki dan perempuan itu saling memerlukan. Maka seks itu adalah pengikat kasih sayang selain anak yang dilahirkan hasil hubungan intim antara pasangan itu.

Walau bagaimanapun hubungan seks halal ini sering diabaikan oleh pasangan sama ada suami atau isteri kerana tidak memahami peranan dan fungsi di atas. Malah sesetengahnya menganggapnya kotor atau kerja sia-sia yang sekadar melepaskan nafsu syahwat sahaja.

Oleh sebab itu kita lihat, ada suami yang lebih sebuk dengan kerja lalu lupa hendak bermesra dengan isteri. Ada juga isteri yang sebuk dengan urusan kerja baik dalam rumah atau luar hingga tidak berpeluang untuk bermesra dengan suami.

Kemungkinan mereka berdua ada masalah, tetapi tidak cuba diselesaikan dengan cara yang baik sehingga akhirnya menjadi kudis dan barah. Sebenarnya beberapa kes yang pernah dirujuk kepada saya, suami mengadu isteri tidak mahu menyerahkan dirinya kepada suami setelah empat tahun berkahwin.

Tetapi apabila bertanya punca, jawapan yang diberi oleh suami dan isteri sering bercanggah. Mereka sering tuduh menuduh. Namun apabila persoalan yang sama ditanya pada sesi temu bual tertutup secara empat mata, isteri mengakui tidak mendapat kepuasan seks setiap kali bersama suami.

Jadi, berdasarkan jawapan itu boleh disimpulkan bahawa ramai suami dalam kes seumpama ini tidak mengambil berat soal kepuasan seks isterinya. Padahal keperluan ini perlu diberi perhatian sama dengan keperluan makan dan minum dan sebagai.

Oleh sebab itu perkara ini perlu diberi perhatian oleh kedua-dua belah pihak secara jujur. Suami perlu berterus terang dengan isteri jika ada masalah kesihatan. Dan isteri juga perlu berterus terang dengan suami jika ada kekurangan yang boleh menjejaskan hubungan.

Ingatlah jika kedua-dua pihak boleh membaiki kelemahan masing-masing mereka mampu memanjangkan hayat perkahwinan mereka.

Selain itu, lelaki yang bergelar suami harus sedar bahawa mereka telah berbelanja besar untuk berkahwin malah sesetengahnya hutang bertahun-tahun. Tentulah tidak wajar suami sanggup membiarkan wang yang dilaburkan itu habis begitu sahaja.

Jadi, binalah perkahwinan dengan sebaiknya melalui kesefahaman yang jitu. Manakala isteri perlu setia dengan hubungan itu dengan saling memahami keperluan di atas kerana suami lazimnya sentiasa mengharap belaian kasih sayang isteri sepanjang hayat sama seperti malam pertama.

http://mstar.com.my/variasi/agama/cerita.asp?file=/2009/5/15/mstar_agama/20090515160322&sec=mstar_agama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...