MELAKA: Lagak dan gaya mereka tidak ubah seperti pelancong asing ‘mewah’ dengan memakai pakaian kemas serta berperwatakan tenang ketika bersiar-siar hingga berjaya melindungi jenayah dilakukan iaitu ragut dan mencuri di negeri ini.
Malah, ketiga-tiga suspek warga Peru berusia lewat 20-an itu sanggup mengembara sejauh lebih 140 kilometer dari Kuala Lumpur ke negeri ini untuk menjalankan kerja jahat mereka.
Begitupun, kegiatan licik tiga pelancong itu terbongkar kelmarin apabila dua daripada mereka diberkas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah selepas dikejar sejauh satu kilometer selepas meragut beg milik seorang pengurup wang di kafe sebuah hotel di Kampung Hulu, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seorang pengurup wang berusia 29 tahun yang sedang menikmati minum petang di kafe terbabit tersentak apabila seorang daripada dua warga Peru yang muncul secara tiba-tiba terus menyambar beg sandang miliknya.
Difahamkan, beg sandang berkenaan diletakkan di atas meja di sebelahnya dan mengandungi mata wang asing bercampur-campur dan ketika kejadian kafe itu turut dikunjungi beberapa pelanggan lain.
Sejurus mendapat beg berkenaan, kedua-dua suspek melarikan diri menaiki sebuah Proton Waja bersama seorang lagi rakan mereka yang menunggu dalam kenderaan terbabit.
Sumber berkata, berdasarkan maklumat diperoleh termasuk nombor plat kereta itu, anggota polis yang sedang melakukan rondaan mengesan kenderaan dinaiki suspek.
“Sebaik melihat kereta polis, suspek memecut kenderaan mereka dengan berlegar-legar dan berpusing di pusat bandar dan Jonker Walk.
“Akhirnya suspek terperangkap di jalan mati di Jalan Tokong, Kampung Hulu dan tidak boleh berpatah balik kerana ada sebuah kereta lain dari arah hadapan.
“Kedua-dua suspek berjaya ditahan manakala rakan mereka yang duduk di kerusi pemandu melarikan diri,” katanya.
Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui semula beg dilarikan itu.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung tangkapan dua suspek warga asing terbabit.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes.
No comments:
Post a Comment