Wednesday, June 17, 2009

9 beranak daif sering berlapar


DAIF...Hamdan dan Zaharah bersama anak mereka.
DAIF...Hamdan dan Zaharah bersama anak mereka.

KUALA TERENGGANU: “Ada kala saya dan keluarga tidak makan beberapa hari kerana tidak mempunyai wang belanja,” kata Hamdan Mohd Zin, 47, yang hidup dalam kedaifan di Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini.

Menurutnya, dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada hasil mengutip bahan buangan seperti tin, besi buruk dan kotak kira-kira RM300 sebulan untuk menyara tujuh anak berusia antara tiga bulan hingga 12 tahun.

Katanya, dia turut mengalami masalah sakit belakang selepas terbabit kemalangan beberapa tahun lalu menyebabkannya sukar melakukan kerja berat.

Dia berkata, empat anaknya masih bersekolah dan kadang-kala terpaksa ponteng berikutan tidak mempunyai wang untuk membayar tambang bas.

“Pernah kami sekeluarga tidak makan beberapa hari hinggalah saya keluar bekerja untuk mendapatkan wang membeli makanan.

“Kami sekeluarga tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Menurutnya, rumah seluas kira-kira 40 kaki persegi dan tidak mempunyai bilik tidur dan bilik air itu dibina hasil ihsan penduduk kampung yang mengutip derma.

Katanya, keluarganya berharap ada pihak sudi menyalurkan bantuan kepadanya.

Isterinya, Zaharah Ismail, 43, berkata rumah mereka yang tidak bertingkap dan sempit mengundang ketidakselesaan kerana ahli keluarga yang ramai serta sukar untuk anak-anak mengulang kaji pelajaran.

Menurutnya, jika terlalu terdesak, dia dan suami menebalkan muka meminjam wang di rumah jiran dan jika dapat baru boleh menjamah makanan.

“Saya kasihankan anak-anak tinggal di rumah yang tidak mempunyai bilik, bilik air dan tingkap,” katanya yang menumpang di rumah saudara terdekat untuk mandi dan membuang air.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...