BILA tembakan mula dilepaskan di udara yang mula berlari nampak macam Umno. Ini ialah lumba lari demokrasi dalam sebuah negara demokrasi, maka sudah tentulah masing-masing mahu menjadi juara demokrasi.
Dengan kedudukannya sebagai parti pemerintah, sudah tentulah berita Umno yang akan terlebih dahulu singgah di dada-dada akhbar. Lalu diumumkanlah yang Umno akan bermesyuarat agung khas, serentak dengan perhimpunan agung tahunannnya yang berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober 2009.
Mesyuarat agung khas ini adalah untuk meminda perlembagaan Umno, antara lainnya adalah bertujuan bagi membolehkan pemilihan pucuk pimpinan parti berjalan dengan lebih telus dan terbuka, terhindar dari politik wang dan akan disertai oleh lebih ramai kumpulan akar umbi, dianggarkan jika berjayanya pindaan perlembagaan ini, perhimpunan agung Umno atau pemilihan pucuk pimpinan Umno selepas itu akan melibatkan 60,000 orang perwakilan! Sepatah kata Ezam tidak akan ada lagi G-7.
Lumba lari demokrasi ini berlangsung di stadium rakyat, penontonnya adalah rakyat, penuh di kerusi penonton sehinggalah ke grand stand. Selama ini tontonan rakyat hanyalah tertumpu kepada peserta bernama Umno ini, mungkin kerana dia suka membuat bising ketika sedang berlari.
Alih-alih belum habis lagi setengah pusingan, Umno kelihatan seperti tertoleh-toleh ke belakang… rupa-rupanya ada yang mengejar dan semakin rapat. Penonton terutama dari kalangan media terjenguk-jenguk sampai panjang leher untuk memastikan siapakah peserta yang menjadi saingan Umno ini. Namanya PKR, belum sempat media mahu bertanya PKR telah melaksanakan kongres khasnya pada 13 Jun 2009 minggu lepas.
Kalau Umno mahu menambah perwakilan dari sekitar 2,000 kepada 60,000, PKR pula meluluskan usul menghapuskan terus sistem perwakilan dalam pemilihan pucuk pimpinan partinya. PKR akan memperkenalkan grass root democracy, yang mana ini akan memberi hak kepada semua 300,000 ahli partinya memilih pemimpin. Sivarasa berkata PKR mahu menjadi parti paling demokratik, nak menang lumba larilah tu! Tetapi maaf, untuk PKR ini saya tidak bertemu di dalam mana-mana penerbitan adanya komen dari Ezam.
60,000 lawan 300,000, kalau kedua-dua ini berlawan di medan perang, yang 60,000 itu payahlah sikit mahu menang, masalahnya ini bukan perang. Ini adalah perlumbaan siapa yang akan menjadi jagoan demokrasi. Dari satu sudut, perkembangan ini memang bagus untuk rakyat dan negara, kedua-dua parti yang saling bertentangan ini bukan sahaja sedang berlawan untuk menjadi paling demokratik, tetapi juga paling terbuka, paling telus, paling bersih dan paling serba-serbi. Sekurang-kurangnya akan ada manfaat langsung yang bakal diperolehi.
Bukanlah niat saya untuk potong stim Anwar dan Najib. Saya juga seorang demokrat, tetapi dalam masa yang sama saya cuba untuk menjadi praktikal dan rasional. Atas sebab ini, harus saya lontarkan persoalan kepada kedua-dua parti ini, bukan persoalan yang wujud dari pendapat saya, tetapi lebih kepada untuk direnung secara bersama.
Pemilihan parti adalah hal dalaman parti, ia adalah sebahagian dari aspek pengurusan parti, maksudnya pemilihan adalah sesuatu yang diuruskan, perlu ada sistem pengurusannya. Demokrasi, demokrasilah juga, tetapi jangan kerana kita terlalu tergila-gila mahu terkehadapan sebagai sebuah institusi paling demokratik, parti kita akan menjadi porak-poranda kerana gagal diuruskan mengikut sistem yang kita bina sendiri, dek kerana munculnya masalah sumber manusia dan kawalan dalam sistem pengurusan pemilihan tersebut.
Sama ada 60,000 perwakilan atau 300,000 ahli, kemungkinan masalah pertama yang wujud adalah dalam menentusahkan kelayakan mereka sebagai ahli yang berhak memilih, mengikut aturan biasanya adalah ahli berdaftar yang membayar yuran pada tahun tersebut. Di sini wujudnya keperluan sumber manusia yang banyak untuk melaksanakan kerja ini seterusnya mengawal dari tersesatnya “ahli-ahli tidak sah” datang untuk turut sama memilih.
Jika ini berlaku dan tidak dapat dikawal, maka ketelusan dan keterbukaan yang diharapkan akan menjadi sia-sia. Jika ia dapat dikesan, bayangkan pula beban pengurusan yang terpaksa dipikul parti dalam mengendalikan siasatannya. Adakah kedua-dua mempunyai cukup persediaan untuk ini semua?
60,000 perwakilan atau 300,000 ahli memilih kepimpinan tentulah satu proses yang akan membabitkan keperluan logistik yang besar. 60,000 perwakilan Umno pada satu masa tentulah akan memaksa Umno sebelum membuat pemilihan menyediakan sebuah dewan yang berkapasiti lebih besar, kalau disewa tentulah dengan kos yang lebih besar, belanja makan-minum yang lebih besar dan kos-kos administratif lain yang juga lebih besar.
Bagi 300,000 ahli PKR pula jika terlaksananya pemilihan peringkat grass root, sudah tentu mereka akan meminta parti menyediakan keperluan logistik di peringkat bahagian atau cawangan masing-masing bagi membolehkan pemilihan berjalan dengan sempurna dan teratur, sekali lagi tanpa anasir “ahli tidak sah” dan sebagainya.
Mampukah PKR menangani kos untuk ini yang sudah tentu akan menjadi sangat tinggi, PKR juga perlu menyediakan sumber manusia yang ramai bagi tujuan pemantauan dan kawalan ke atas proses pemilihan yang akan berlangsung di seluruh negara, bukan setempat. Saya tidak nampak yang PKR akan membenarkan ahli-ahlinya menghantar undi secara pos semata-mata mahu mewajarkan falsafah grass root democracy yang digagasnya, kerana PKR memang dikenal terjal dalam penentangan terhadap undi pos.
Tidakkah Umno dan PKR merasakan bahawa beban kewangan yang timbul dari pindaan perlembagaan kedua-dua parti ini adalah satu pembaziran? Jika kemampuan kewangan itu sememangnya ada di kedua-dua belah pihak, tidakkah lebih molek jika ia dibelanja untuk program yang lebih merakyat?
Apa kata bila tiba-tiba ada orang mahu mempergunakan semangat “mahu jadi paling demokratik” Umno dan PKR ini? Lalu dimintalah supaya semua dasar negara diputuskan oleh hampir 28 juta rakyat Malaysia, bukan lagi oleh dua ratus lebih perwakilan di Dewan Rakyat. Apa pemimpin kedua-dua parti ini mahu jawab? Tidak boleh dipertimbangkan? Nanti dikata double standard. Akan dipertimbangkan? Cubalah jawab begitu kalau mahu sakit kepala, anda sendiri tahu ia tidak praktikal dan tidak logik.
Sekali lagi saya tegaskan yang saya cuma melontar persoalan, bukan menentang saranan. Kerana bukan semua keadaan dalam sejarah, demokrasi dipandang mulia, sesekali demokrasi juga membuat dosa.
Akhirnya, siapa yang bakal bergelar juara dan jagoan demokratik hanya akan dapat kita ketahui apabila kedua-dua parti ini melaksanakan pemilihan yang pertama selepas mesyuarat agung khas dan kongres khas masing-masing. Disitulah garis penamatnya.
Jika di antara mereka berjaya melaksanakan proses pemilihan tersebut berdasarkan ketelusan dan keterbukaan yang mereka kehendaki, dengan hasil yang mengkagumkan di samping menidakkan risiko-risiko yang saya andaikan tadi, maka merekalah yang berhak menjadi pemenang.
No comments:
Post a Comment