Wednesday, June 17, 2009

Sindiket ‘anak jutawan’

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Iskandar Shah Mohamed
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Dermawan dan berlagak tidak ubah seperti anak jutawan antara taktik ampuh digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk memikat hati gadis tempatan termasuk dari Singapura dan Brunei sebelum diperdaya menjadi ‘keldai’ membawa dadah keluar negara.

Difahamkan anggota sindiket dadah terbabit langsung tidak lokek untuk menabur sebanyak mungkin wang bagi menjerat hati mangsa termasuk membelikan barang kemas mahal, pakaian berjenama selain pelbagai hadiah mewah kepada gadis yang dilayan tidak ubah seperti kekasih.

Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, berkata ahli sindiket berkenaan turut tidak teragak-agak memberikan sejumlah wang dengan nilai beribu ringgit walaupun tidak diminta mangsa.

Berdasarkan siasatan, kumpulan penjenayah ini biasanya akan berkeliaran di laman sembang atau mencari kenalan di Internet untuk mencari mangsa yang dianggap mudah untuk dijinakkan.

“Dalam beberapa kes membabitkan gadis Brunei sebelum ini, suspek terlebih dahulu saling berbalas e-mel dalam jangka masa lama mencecah lebih enam bulan bagi memastikan mangsa benar-benar yakin terhadap hubungan itu.

“Pada masa sama, suspek akan menghantar pelbagai hadiah berharga melalui pos kepada mangsa untuk menambat hati mangsa supaya jatuh cinta sebelum digoda untuk berjumpa dan menjalin hubungan lebih intim,”
katanya.

Menurutnya, mangsa yang jatuh cinta akan dipelawa datang ke ibu negara sebelum dihadiahkan pakej melancong ke luar negara secara percuma.

“Namun sebaik tiba di balai berlepas lapangan terbang, suspek akan menyerahkan beg kepada mangsa secara tiba-tiba dan minta diserahkan kepada pihak ketiga sebaik sampai ke destinasi ditetapkan.

“Bagaimanapun mangsa hanya menyedari membawa dadah selepas ditahan di pintu masuk lapangan terbang di negara asing,”
katanya.

Dalam kes terbaru, seorang wanita warga Brunei berusia 29 tahun diberkas kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, Australia selepas dikesan cuba menyeludup dua kilogram dadah heroin.

Menurutnya, siasatan polis mendapati sindiket berkenaan tidak lagi menjadikan gadis tempatan sebagai mangsa, malah turut melangkau sehingga ke Filipina, Singapura dan Brunei dengan menjadikan Malaysia sebagai pengkalan operasi.

Wanita yang berasal dari Bandar Seri Begawan itu, diberkas pihak lapangan terbang negara berkenaan sebaik tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur.

Menurutnya, kewujudan dadah itu dikesan selepas kastam Australia melakukan imbasan X-ray sebelum menemui ruangan sulit dalam beg bagasi wanita terbabit yang digunakan untuk menyembunyikan serbuk dadah berkenaan.

“Mangsa yang diperdaya itu sudah dihadapkan ke mahkamah negara berkenaan dan berhadapan hukuman penjara 25 tahun dan denda hampir RM1 juta,” katanya.

“Mangsa yang disoal siasat pihak berkuasa negara itu mendakwa diberikan beg oleh seorang lelaki warga Afrika yang ditemui di Kuala Lumpur sebelum mengambil penerbangan ke Sydney.

Difahamkan mangsa dan suspek warga Afrika terbabit sudah enam bulan berkenalan melalui Internet,”
kata sumber itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090616063930/Article/index_html


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...