Wednesday, June 17, 2009

Menteri kecewa FLFAM 'besar kepala'




PUTRAJAYA - Keengganan Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menghantar wakil menyebabkan dua mesyuarat penetapan harga ayam yang dianjurkan oleh kerajaan terpaksa dibatalkan.

Sikap FLFAM itu mengecewakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) yang menganggap tindakan mereka sebagai tanda "sudah besar kepala".

"Mereka (FLFAM) rasa mereka yang berkuasa dan tidak ada siapa boleh kawal mereka," kata Ismail kepada pemberita di sini semalam.

Beliau menegaskan, mesyuarat itu penting ke arah menetapkan harga dan bekalan barangan keperluan tersebut.

"Saya tidak tahu mengapa mereka enggan hadir atau tidak dapat hadir tetapi mereka tetap tidak hadir," ujarnya.

Kabinet sebelum ini dilaporkan bersetuju melaksanakan permit import ayam yang lebih liberal bagi mengawal harga dan pasaran.

Keputusan itu dibuat berikutan keengganan FLFAM menurunkan harga ayam antara 40 sen dan 60 sen baru-baru ini walaupun didesak oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan.

Pertikaian itu kemudian mendorong kepada penubuhan jawatankuasa penetapan harga ayam tetapi kedua-dua mesyuaratnya tidak dihadiri wakil FLFAM.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...