Wednesday, June 17, 2009

Tahap IQ rendah

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Masalah kanak-kanak atau remaja bertukar sifat seperti 'haiwan liar' apabila tiba-tiba mengamuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang lain, disebut dalam istilah psikologi sebagai gangguan tingkah laku (syndrome conduct).

Tanda awal yang biasa boleh dilihat dengan mata kasar pada kanak-kanak mengalami sindrom berkenaan ialah pelaku mempunyai kecenderungan melakukan keganasan kepada haiwan.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Jabatan dan Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Hussain Habil, berkata beberapa faktor termasuk tahap IQ rendah didapati menyumbang kepada gangguan tingkah laku itu.

Menurutnya, penagihan dadah juga antara faktor utama seseorang itu boleh bertindak di luar perikemanusiaan walaupun mangsanya ahli keluarga seperti ibu bapa.

Daya pemikiran tidak sepadan dengan usia antara punca kanak-kanak atau remaja menjadi ganas. Faktor lain seperti masalah persekolahan, disiplin serta sistem kekeluargaan pincang turut menyumbang kepada gangguan tingkah laku.

“Statistik menunjukkan dalam sebulan secara purata 30 kes diterima seumpamanya di PPUM... ia adalah kes yang lumrah berlaku,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam yang melaporkan remaja lelaki berusia 13 tahun menumbuk muka ibunya dengan menggunakan buku lima semata-mata berang apabila ditegur supaya meninggalkan perbuatan terkutuk menjadi ‘kekasih’ kepada seorang lelaki berusia 20-an.

Laporan memetik, remaja itu melemparkan kata-kata kesat selain mendakwa wanita berkenaan tidak layak menjadi ibu kandungnya kerana tidak mampu menyediakan segala diingini.

Ditanya cara rawatan apabila kes seperti itu dirujuk, kata Dr Hussain kebiasaannya ia diselesaikan secara kaunseling psikososial.

“Punca dan latar belakang pelaku itu (pesakit) akan dianalisis terlebih dulu sebelum kaunseling diberikan. Ada kes pesakit perlu diberikan beberapa jenis ubatan tertentu.

“Pesakit itu juga akan dirujuk kepada Unit Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja PPUM untuk tindakan lanjut. Rawatan boleh mengambil masa antara enam bulan atau hingga bertahun-tahun berdasarkan betapa seriusnya keadaan pesakit terbabit,”
katanya.

Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Profesor Emeritius Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim berkata, anak bersikap demikian terhasil daripada ibu bapa yang hanya tahu kahwin tetapi tidak ada ilmu keibubapaan.

“Konsep kekeluargaan semakin teruk. Untuk penganut Islam, solat berjemaah sudah dilupai. Kursus perkahwinan pula kurang menekankan kepada ilmu keibubapaan.

“Ibu bapa terlalu sibuk. Bagi kami di Pertiwi, kursus keibubapaan yang dianjurkan selalunya mendapat sambutan dingin terutama oleh orang lelaki,”
katanya.

Menurutnya, perkembangan menyedihkan anak tidak menghormati ibu bapa dan orang tua perlukan usaha bersepadu semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, kariah masjid serta ahli ibadat, ibu bapa dan sekolah untuk menanganinya daripada menjadi barah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090616064838/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...