SUDAH agak lama MIC tidak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat kata dua dalam isu-isu melibatkan politik untuk tempoh yang agak lama. Malah, MIC juga tidak banyak mengemukakan suara keras khususnya Mac 2008.
Minggu lalu, beberap hari selepas Kabinet baru pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak diumumkan dan mengangkat sumpah, laporan media memetik sumber berkata, MIC kemungkinan akan menarik keluar wakilnya daripada Kabinet.
Sama ada MIC keluar ataupun tidak belum pasti. Ia akan ditentukan esok pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang akan berlangsung esok.
Setakat ini Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sudah mengakui tentang kewujudan rasa tidak puas hati parti itu berhubung peruntukan kerusi dalam Kabinet baru. Katanya, ia akan dibincangkan oleh badan membuat dasar parti itu.
"Kami akan mendengar pandangan semua pemimpin sebelum keputusan diambil. Saya juga akan memohon mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri," kata beliau yang pernah menyandang jawatan Kabinet hampir tiga dekad.
Laporan terdahulu menyebut MIC sedang mengkaji cadangan menarik diri seorang menteri dan dua timbalan menteri dari parti itu dari Kabinet sebagai bantahan terhadap kekurangan kepentingan yang diberikan kepada masyarakat India di negara ini. MIC telah mengemukakan hasrat untuk mendapatkan portfolio kanan dalam Kabinet iaitu Kementerian Kerja Raya, tetapi permintaan itu ditolak.
"Saya berpendapat pada masa depan Perdana Menteri harus mempertimbangkan peruntukan portfolio kanan dalam Kabinet kepada MIC," kata beliau kelmarin.
Sepanjang tempoh pascapilihan raya umum ke-12, beberapa parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) pernah memberikan isyarat-isyarat bahawa akan keluar perikatan ini jika permintaan dan tuntutan mereka tidak mendapat perhatian. Ada yang dipenuhi secara langsung dan ada yang dipenuhi secara tidak langsung.
MIC merupakan antara komponen paling lama bernaung dengan BN. Dua parti komponen yang lain ialah Umno dan MCA.
Mengambil kira perkembangan yang berlaku sejak Mac 2008 dengan pelbagai memberikan pandangan yang dilihat sebagai mencabar kedudukan BN dan mencabar semangat kesetiakawanan BN, wajarkah MIC juga bertindak sedemikian?
Walaupun MIC akan membincangkan isu berkenaan esok apa yang pasti parti yang tertua mewakili masyarakat India tidak akan keluar BN.
Dalam keadaan politik landskap semasa, di mana MIC juga telah mengalami kemerosotan sokongan masyarakat India khususnya ketika pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, parti itu perlu mengambil langkah memperkukuhkan kedudukannya tanpa keluar Kabinet.
Adakah MIC akan memperoleh manfaat berlipat ganda dengan keluar BN?
Ataupun syor untuk keluar Kabinet itu cuma gimik politik MIC bagi mendapatkan lebih banyak ruang perwakilan dalam kerajaan di peringkat bukan Kabinet?
Pokoknya MIC tidak berada dalam kedudukan yang kukuh untuk keluar Kabinet. Ia tidak wajar dan tidak harus keluar Kabinet dalam keadaan semasa.
No comments:
Post a Comment