Wednesday, December 15, 2010

Banglo dadah Datuk

KUALA TERENGGANU: Berselindung di sebalik gelaran Datuk, seorang usahawan lelaki yang hidup mewah dengan hasil perniagaan chalet di Cherating, Pahang disyaki turut licik menjalankan kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah di kawasan Kemaman dan Cherating sejak 10 tahun lalu.

Kegiatan Datuk berusia 46 tahun dari Pahang itu terbongkar selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 yang disembunyikan di dalam banglo mewahnya di Jalan Kubang Kurus, Taman Muhibbah, Kemaman.


Rampasan dadah jenis heroin, syabu Eramin 5, Ecstasy dan ganja serta lima pokok ganja hidup itu dibuat sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kemaman diketuai ketua bahagian berkenaan, Asisten Superintendan Mohd Hamzah Awang Dollah kira-kira jam 11 pagi, Ahad lalu sebaik menerima maklumat awam.

Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM37,530 dan menyita sebuah kereta Proton Gen2 bernilai RM25,000 dan dua kenderaan mewah jenis Mercedes Benz (RM60,000) dan Honda Civic (RM116,000) dipercayai milik Datuk berkenaan selain merampas barang kemas bernilai RM7,690 yang keseluruhannya bernilai RM246,220. Datuk berkelulusan diploma dan beristerikan seorang wanita warga British itu juga dikatakan cuba mengaburi mata pihak berkuasa apabila menjadikan kawasan perumahan didiami hampir keseluruhan bangsa Cina sebagai tempat tinggal bagi mengelak kegiatannya dikesan.


Kedudukan banglonya yang strategik dan tersembunyi dari kediaman lain di kawasan perumahan itu membolehkan kegiatan pengedaran dadah dilakukan dengan selesa sejak 10 tahun lalu apabila ia sukar dikesan pihak berkuasa.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata ketika serbuan, pihaknya mendapati seorang wanita berusia 40 tahun melarikan diri ke tingkat atas banglo sebelum menahannya dalam sebuah bilik di tingkat berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan anggota polis wanita yang terbabit dalam serbuan itu terhadap wanita berkenaan menemui sejumlah ganja yang diletakkan berhampiran katil.


“Hasil pemeriksaan seterusnya dalam bilik berkenaan, polis turut menemui lima pokok ganja hidup yang ditanam di bahagian hadapan balkoni banglo berkenaan. Kesalahan memiliki ganja hidup itu sudah cukup untuk membolehkan pasangan berkenaan dikenakan hukuman penjara seumur hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.

Roslan berkata, ketika serbuan hanya wanita terbabit dan seorang remaja wanita berusia 18 tahun berada dalam rumah berkenaan dan pihaknya menahan lelaki terbabit sebaik dia tiba di rumah itu selang beberapa minit kemudian.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BanglodadahDatuk/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...