Wednesday, December 15, 2010

Ruman terbengkalai: Lebih 10,000 pembeli di S'gor rugi

Dis 13, 10 8:08pm

Kira-kira 10,000 pembeli rumah di Kuala Selangor mengalami kerugian apabila projek perumahan yang dirancang sejak 10 tahun lalu terbengkalai kerana menghadapi pelbagai masalah.

khalid ibrahimMenteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia melibatkan 10 hingga 12 projek perumahan yang diluluskan kerajaan negeri terdahulu, menyebabkan pembeli menanggung kerugian.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius masalah itu dan akan cuba menyelesaikannya secara berperingkat, menggunakan pelbagai cara, termasuk mengambil alih tanah untuk pembangunan semula.

“Pengambilalihan tanah ini akan membolehkan kerajaan negeri membangunkan semula projek berkenaan seperti yang dilakukan di Bukit Botak dan Bandar Alam Perdana,” kata menteri besar.

Beliau berkata demikian di majlis turun padang bersama ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Penghulu Daerah Kuala Selangor, hari ini.

Menteri besar juga berkata, kerajaan Selangor telah mempermudahkan pemberian geran tanah kepada penduduk yang menduduki tanah itu selama lebih 15 tahun dan belum memiliki rumah.

Bagaimanapun Menteri Besar berkata, setiap pemohon hanya akan dibenarkan mendapat satu geran tanah bagi mengelak penyelewengan di samping memberi keadilan kepada mereka yang layak.

Selepas mengadakan perbincangan dengan JKKK dan penghulu, menteri besar melawat pejabat JKKK Bukit Badong untuk mendengar taklimat berhubung pembangunan ekonomi dan aktiviti sosial di kawasan itu.

Menteri besar kemudian dibawa melawat premis membuat perabot, Idyan Jaya Enterprise, ladang yang menternak lebih 30,000 arnab pelbagai spesis dan merasmikan sepak mula perlawanan akhir futsal liga tempatan.

Majlis turun padang bersama JKKK dan penghulu akan diperluaskan ke semua daerah di Selangor untuk membolehkan pimpinan negeri mendapat gambaran sebenar masalah yang dihadapi penduduk.

http://malaysiakini.com/news/150707

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...