Wednesday, December 15, 2010

Konvensyen ke 2: Cerita kejayaan, PRU 13

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Dis: 2000 perwakilan dari parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP dijangka akan berhimpun di Dewan Milllenium Kepala Batas Ahad ini untuk menyertai Konvensyen Ke 2 Pakatan Rakyat.

Mereka dijangka mempersiapkan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Setiap parti akan menghantar 600 perwakilan tidak termasuk para pemimpin utama parti berkenaan, tetamu dan para pemerhati.

Sepanjang konvensyen, empat perwakilan setiap parti akan membahaskan pembentangan yang akan dibuat oleh tiga jurucakap utama parti masing-masing.

"Fokus akan diberikan kepada dua perkara utama dalam konvensyen ini iaitu cerita kejayaan negeri-negeri Pakatan dan mempersiap kami semua untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13," kata Mujahid Yusof (gambar), Pengarah konvensyen ini.

Untuk mencapai tujuan itu, klip video cerita kejayaan kerajaan negeri Pakatan akan dipersembahkan kepada semua perwakilan semasa konvensyen ini.

Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan mempamerkan kejayaan mereka melalui booth pameran yang akan mereka sediakan di konvensyen ini.

Selain Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut akan membuat pameran adalah kerajaan negeri Perak ketika diperintah Pakatan dan kerajaan Terengganu dari tahun 1999 ke 2004 yang tidak diketahui masyarakat tentang kejayaan mereka.

Menurut Mujahid, konvensyen ini juga akan menghasilkan 'buku oren' iaitu buku yang menggariskan polisi Pakatan dalam bentuk perincian dari Dasar Bersama yang telah diluluskan dalam konvensyen pertama tahun lepas.

"Ia berupa pra manifesto kita dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mujahid.

Tema konvensyen kali ini adalah "Ubah Sekarang" untuk mengajak rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Video klip cerita kejayaan, booth kerajaan negeri Pakatan dan buku oren ini akan menjadi isi atau asas kenapa kita mengajak rakyat ubah sekarang," kata Mujahid.

Dalam konvensyen lepas, katanya, konvensyen telah selesaikan asas bersama iaitu penerimaan Pakatan kepada Islam agama persekutuan, kedudukan bahasa Malaysia dan juga kedudukan raja-raja Melayu.

Kali ini, kata Mujahid, pengisian akan dibuat sepenuhnya bagi mempastikan semua sektor rakyat bersedia untuk bersama-sama membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami yakin, dengan cerita kejayaan yang telah kerajaan Pakatan buat, rakyat akan yakin kita mampu memberikan jauh lebih baik berbanding BN," katanya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29842:konvensyen-ke-2-cerita-kejayaan-pru-13&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...