Wednesday, December 15, 2010

Dedah Umno bayar tambang: SPRM temui Harakah

Harakahdaily

KOTA BHARU, 14 Dis: Pendedahan Harakah mengenai pengundi di Dun Galas yang mendapat bayaran tambang daripada Umno pada pilihan raya kecil 4 November lalu kini mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ekoran penyiaran berita dan gambar di muka depan Harakah bilangan 1587 tiga pegawai SPRM datang ke pejabat Cawangan Harakah di sini 6 Disember lalu.

Selain itu pemberita dan jurugambar yang hadir di Bukit Cekati, Gua Musang tempat pembahagian duit tambang kepada pengundi juga diambil kenyataan.

Pemberita terbabit Hafiz Irwan diminta hadir kepada SPRM di tingkat 12 Wisma Persekutuan pada petang hari yang sama.

(Gambar: Muka depan Harakah yang menyiarkan gambar pembahagian duit di Bukit Cekati semasa pilihan raya kecil Galas. Kini SPRM menyiasat laporan ini)

“Saya berada di situ kira-kira tiga jam untuk diambil kenyataan oleh seorang pegawai SPRM. Kenyataan saya mulai direkod mulai jam 4 petang dan berakhir tiga jam kemudian,” katanya di sini.

Harakah bertarikh 8 – 11 November lalu menyiarkan gambar di muka hadapan ramai pengundi datang ke kaunter pembahagian wang tambang oleh Umno di Bilik Gerakan Umno yang terletak di Bukit cekati.

Sedangkan sebelum itu Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan berkata, pembayaran tambang kepada pengundi dianggap menyalahi peraturan pilihan raya.

Selain pemberita di Kota Bharu, pegawai SPRM terbabit juga memberitahu akan menemui pengarang Harakah di Kuala Lumpur bagi memastikan kesahihan gambar yang disiarkan.

Hafiz dan wartawan lain di Kota Bharu memberi kerjasama penuh kepada pegawai SPRM terbabit ketika datang ke pejabat Harakah Cawangan Kota Bharu.

Sebelum kehadiran pegawai terbabit, seorang daripada mereka membuat panggilan telefon memperkenalkan sebagai pegawai JPN ingin menemui Hafiz yang menulis berita mengenai pembahagian wang tambang di Bukit Cekati.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29833:dedah-umno-bayar-tambang-sprm-temui-harakah&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...