LONDON – Pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange semalam menyelar pembekal perkhidmatan kad kredit Visa dan MasterCard serta perkhidmatan pembayaran Internet, PayPal kerana membuat sekatan ke atas laman webnya.
Dia membuat kenyataan itu dari dalam penjara menjelang perbicaraannya di London semalam selepas laman webnya menyiarkan lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) yang mengandungi maklumat sulit.
Warga Australia berusia 39 tahun itu menyifatkan ketiga-tiga firma berkenaan sebagai ‘alat dasar luar AS.’
Assange berikrar, tindakan firma itu tidak akan menghalang WikiLeaks daripada terus menyiarkan beribu-ribu kabel diplomatik AS yang mengandungi maklumat sulit.
“Tekad saya tetap teguh. Saya masih berpegang teguh pada visi saya,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah stesen televisyen Australia yang ditujukan kepada ibunya, Christiane Assange.
Wanita itu tiba di London untuk bersama dengan Assange yang dipenjarakan selepas wang ikat jaminnya ditolak ekoran penangkapannya pada 7 Disember lalu atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita di Sweden.
Assange tidak dibenarkan menemui ibunya tetapi mereka dibenarkan berbual menerusi telefon selama 10 minit.
Dalam perbualan mereka, Assange memberitahu ibunya bahawa dia ditempatkan bersendirian di bilik penjara tingkat bawah tanah.
Pihak pendakwa raya Sweden mahu menyoal siasat Assange mengenai dakwaan cabul dan rogol itu. – Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment