Wednesday, December 15, 2010

Mangsa mati akibat radang paru-paru

KUANTAN: Hasil bedah siasat terhadap mayat remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dikerat empat dan ditemui berhampiran sebuah tokong di Kilometer 2.3, Genting Highlands, Ahad lalu, mengesahkan mangsa mati akibat penyakit radang paru-paru.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Nordin Mustapha berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa dilakukan petang kelmarin dan pihaknya sudah menerima laporan bedah siasat dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.


“Pihak hospital sudah mengesahkan punca kematian mangsa, namun polis akan meneruskan siasatan bagi mengetahui motif mayat mangsa dikerat sebelum dibuang di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, identiti mangsa belum diketahui dan polis akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti identiti mangsa sekiranya mangsa ada berdaftar di bawah jabatan berkenaan.


“Setakat ini, tiada pihak yang datang menuntut mayat mangsa dan kami memohon kepada sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga atau saudara-mara yang mempunyai ciri seperti mangsa untuk tampil membuat pengecaman.


“Mangsa dipercayai berbangsa India, berusia lingkungan 15 tahun atau 16 tahun serta OKU berikutan kaki yang ditemui itu kecil berbanding badan dan mangsa juga dipercayai tidak mampu berjalan,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, mayat seorang remaja perempuan OKU yang lengkap berpakaian ditemui kira-kira jam 5 petang dengan tangan dan kakinya dikerat dan diisi dalam beg pakaian serta beg kecil sebelum dibuang di kawasan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsamatiakibatradangparu-paru/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...