Monday, February 14, 2011

Anak muda Mesir enggan undur

SOKONG REVOLUSI...seorang wanita membawa anaknya menyertai rapat umum bagi meraikan kejatuhan Hosni di New York, Amerika Syarikat, semalam.
SOKONG REVOLUSI...seorang wanita membawa anaknya menyertai rapat umum bagi meraikan kejatuhan Hosni di New York, Amerika Syarikat, semalam.

KAHERAH: Kumpulan utama menggerakkan protes warga Mesir yang berjaya menggulingkan Hosni Mubarak sebagai presiden berikrar terus bertahan di Dataran Tahrir bagi mendesak perubahan dilakukan di negara itu.

Berjanji unntuk tidak menghalang aliran trafik, kumpulan anak muda Mesir itu menganggap revolusi mereka belum berakhir.


Aktivis Pemuda Revolusi 25 Januari, Mahmoud Nassar, berkata tuntutan mereka belum dipenuhi sehingga kini.

“Revolusi ini masih diteruskan.


“Kami akan terus berada di Dataran Tahrir sehingga tuntutan dipenuhi. Semua orang dijemput menyertai kami,” katanya.


Mahmoud membuat kenyataan itu selepas tentera bersenjata cota mengasak penunjuk perasaan bagi membolehkan aliran trafik kembali pulih selepas hampir tiga minggu tergendala akibat tunjuk perasaan.

Sesetengah penunjuk perasaan mendirikan khemah di dataran yang menjadi pusat gerakan menumbangkan Hosni selepas diktator itu berkuasa di Mesir selama 30 tahun.


Semalam, sebahagian daripada mereka menurunkan sendiri khemah berkenaan, manakala selebihnya dilakukan tentera.

Mahmoud berkata, kumpulannya menuntut semua tahanan politik dibebaskan serta-merta dan undang-undang darurat dimansuhkan.


Turut dituntut, Parlimen dibubarkan serta kerajaan baru menggantikan rejim Hosni dibentuk.


Mendakwa tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik, kumpulan itu mendakwa, tentera menahan 42 penunjuk perasaan sejak kelmarin, selain lima lagi semalam.


Aktivis lain, Yahya Saqr, berkata mereka mahu tahu nasib tahanan berkenaan.


Ketika sebahagian penunjuk perasaan mahu protes diteruskan, satu pihak lain pula menganggap Mesir perlu kembali ke keadaan normal bagi memberi peluang tentera memenuhi janji mengembalikan pemerintahan Mesir kepada pihak awam. - Reuters

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AnakmudaMesirengganundur/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...