Monday, February 14, 2011

Sayang tinggal kuliah

SEPANG: “Kalau ikutkan hati, saya mahu tinggal di Mesir saja kerana hendak menumpukan pelajaran di samping bakal menduduki peperiksaan pada Jun ini, tetapi keselamatan diri itu lebih utama,” kata penuntut Universiti Al-Azhar, Basirah Abu Bakar, 23, yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Basirah yang juga penuntut jurusan Pengajian Qiraat antara 150 rakyat Malaysia yang tiba di KLIA menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), kira-kira jam 10.30 pagi.


“Saya bimbang kerana terpaksa meninggalkan kuliah yang baru saja bermula sekali gus menyebabkan saya ketinggalan beberapa subjek apabila terpaksa pulang ke Malaysia.

“Sebenarnya, saya dan rakan lain rela tinggal di Mesir, tetapi kami diarah berpindah ke Jeddah sebelum dibawa pulang ke tanah air,” katanya.


Basirah berkata, dia dan rakan merancang pulang semula ke Mesir pada bulan depan, tetapi bergantung kepada keputusan kerajaan Malaysia dan keadaan di negara itu.


“Saya tidak berasa takut untuk pulang ke sana semula kerana tidak pernah melihat secara dekat rusuhan yang dicetuskan rakyat Mesir kerana lokasi rusuhan jauh dari rumah kami,” katanya.

“Apa yang saya bimbang, melepak lama sangat di Malaysia akan mengganggu pelajaran selain tidak dapat menamatkan pengajian mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.


Seorang penuntut Universiti Mansoura, Adhwa Anis Zulkarnain, 23, berkata walaupun perasaan takut untuk pulang ke Mesir masih menebal, tetapi pelajar perlu pulang ke negara itu bagi meneruskan kuliah yang akan bermula 19 Februari ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayangtinggalkuliah/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...