Monday, February 14, 2011

Penduduk Kerdau mahu YB mesra, mudah ditemui

Feb 14, 11 2:56pm

Wakil rakyat yang mudah ditemui dan mesra rakyat merupakan kriteria penting yang diingini rata-rata penduduk di kawasan DUN Kerdau.

Bagi mereka, kelulusan dan jawatan tinggi dalam parti politik bukan faktor utama untuk menjadi seorang wakil rakyat.

Seorang penduduk Kampung Seri Ketumbit, Mustapha Kasbi, 67, berkata rakyat memerlukan seorang wakil yang bertanggungjawab dan membela nasib penduduk.

"Jika berkelulusan tinggi dan mempunyai jawatan besar di dalam parti, tetapi sukar ditemui dan tidak mesra rakyat tiada erti bagi kami," katanya ketika ditemui Bernama di Temerloh, hari ini.

Pesara kerajaan itu sebaliknya berkata, rakyat tiada mempunyai sebab untuk menolak seseorang yang berusaha keras menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, seorang mekanik, Wong Ah Ling, 47, pula berkata penduduk memerlukan ADUN yang jujur dan ikhlas dalam membela nasib rakyat.

Katanya wakil rakyat perlu sentiasa turun padang bagi meninjau masalah dihadapi rakyat dan segera berusaha menyelesaikannya.

"Jangan pula apabila sudah menang, susah nak jumpa," katanya.

Seorang pekebun kecil, M Mutiah berkata parti politik perlu meletakkan calon yang benar-benar mahu bekerja untuk rakyat dan bukannya hanya sekadar mengejar jawatan dan pangkat.

"Ramai mahu jadi wakil rakyat, tetapi jika malas bekerja dan susah nak jumpa baik lupakan sahaja hasrat itu," katanya.

Kerusi DUN berkenaan kosong selepas wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya kelmarin.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin yang mewakili BN menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

Kawasan DUN berkenaan mempunyai seramai 8,721 pemilih berdaftar.

Daripada jumlah itu, 88.36 peratus merupakan pengundi Melayu, Cina (5.22%), India (3.43%) dan lain-lain (2.98%).

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/155982

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...