Saturday, February 26, 2011

HEP, pelajar diarah bincang

CHANGLUN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pimpinan pelajar universiti itu berbincang bagi menyelesaikan ketidakpuasan hati pelajar sehingga mencetuskan kekecohan ketika bantahan keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2010/2011 di universiti itu, kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, perbincangan atas semangat musyawarah itu perlu bagi mengelak rasa tidak puas hati antara pelajar dengan pentadbiran universiti berlarutan, sedangkan pemilihan MPP proses demokrasi biasa yang diadakan setiap tahun.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden membabitkan tiga pelajar dan tiga kakitangan keselamatan UPM yang cedera dalam kekecohan ketika bantahan keputusan pemilihan MPP di universiti berkenaan kelmarin.

“Saya harap pentadbiran universiti dan mahasiswa mesti wujudkan satu hubungan rapat dan baik. Proses pemilihan di kampus perkara biasa. Kita beri peluang dan ruang untuk mereka pilih pemimpin yang boleh membantu dalam urusan pengajian, kebajikan dan lain-lain lagi,” katanya selepas merasmikan Program Matrikulasi Bersama Masyarakat di Kolej Matrikulasi Kedah, di sini, semalam.


Ditanya mengenai tindakan akan diambil terhadap pelajar terbabit dalam insiden itu, Muhyiddin berkata ia diserahkan kepada pentadbiran universiti itu.


“Saya tidak tahu keadaan sebenar, tetapi universiti terutama bahagian HEP harus melihat perkara itu dengan serius kerana kita tidak mahu digambarkan seolah-olah di kampus begitulah caranya menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Sedangkan ia sebenarnya proses demokrasi yang biasa dan diadakan setiap tahun serta kejadian sebegitu memang boleh dielakkan,” katanya.


Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika diminta mengulas kejadian sama meminta kedua-dua pihak sentiasa melakukan dialog dan bertemu untuk menyelesaikan sebarang masalah.

Beliau berkata, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memahami pendekatan berdialog dan pertemuan tindakan dan amalan berkesan sepatutnya digunakan sebagai golongan intelektual dalam menyelesaikan sesuatu isu berbangkit.


“Mengenai apa yang berlaku di UPM, saya difahamkan ada tiga bantahan mengenai pemilihan MPP diutarakan, namun semuanya ditolak menerusi jawatankuasa khas ditubuhkan universiti berkenaan atas rasional tertentu, jadi tidak perlulah membuat demonstrasi.


“Justeru, universiti berkenaan dinasihatkan meningkatkan ilmu nilai dan keperibadian pelajar mereka bagi mengelak perkara sama berulang,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HEP_pelajardiarahbincang/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...