Saturday, February 26, 2011

Penduduk pertaruhkan nyawa


SEJUMLAH penunjuk perasaan mendengar khutbah Jumaat di Benghazi, Libya semalam.


BENGHAZI - Para penunjuk perasaan di ibu kota Libya, Tripoli mempertaruhkan nyawa mereka untuk menunaikan solat Jumaat semalam apabila mereka menjadi sasaran tembakan kumpulan yang setia kepada pemerintah, Muammar Gaddafi.

Pasukan keselamatan di Tripoli melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai yang meninggalkan beberapa masjid di sini selepas menunaikan solat Jumaat.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan bagi mengelakkan penunjuk perasaan berhimpun dengan tujuan mengadakan demonstrasi baru pada hari tersebut yang merupakan cuti umum di Libya.

Beberapa penduduk tempatan berkata, imam-imam di Tripoli dipaksa membaca khutbah yang disediakan oleh pihak berkuasa yang antara lain menggesa orang ramai tidak melakukan hasutan.

Bagi memastikan arahan tersebut dipatuhi, pasukan polis dan tentera dikerah berkawal di luar beberapa buah masjid sekitar Tripoli.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung dengan pemimpin Britain, Perancis dan Itali bagi mencari kata sepakat mengenai tindakan segera yang perlu dilakukan bagi menangani kekejaman rejim Gaddafi.

Britain dan Perancis sebelum ini meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menguatkuasakan sekatan di samping mendakwa anggota-anggota rejim Gaddafi di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Kira-kira lebih 1,000 orang maut dalam pertempuran melibatkan penunjuk perasaan dengan tentera upahan Gaddafi di Libya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...