Saturday, February 26, 2011

Makin ramai wanita ketagih

KUALA LUMPUR: Wanita dikesan semakin mengambil minuman beralkohol, sekali gus menyaingi golongan lelaki, kata Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyalahgunaan Alkohol, Kementerian Kesihatan, Dr Rozanim Kamarudin.

Menurutnya, kajian yang dilakukan pihaknya juga mendapati orang Melayu mengambil minuman haram itu walaupun peminum di kalangan kaum lain lebih tinggi.


“Sebanyak 24.6 peratus peminum sebab mabuk, menyebabkan mereka ketagih,” katanya pada Persidangan Meja Bulat Arak dan Pencegahannya di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Ikim dan Penasihat Perundangan Syariah Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.


Persidangan dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin membabitkan lapan pembentangan kertas kerja daripada pelbagai agensi, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).


Dr Rozanim berkata, alkohol banyak membawa mudarat, malah individu ketagih alkohol tidak boleh berhenti serta-merta seperti ketagihan dadah.

Katanya, kajian pihaknya mendapati 48 peratus daripada keseluruhan kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alkohol di samping bahan psikoaktif lain.


“Alkohol adalah punca risiko besar bagi kemabukan dan penyakit kronik. Jika diambil setiap hari ia akan menyebabkan ketagihan pada masa depan.

“Mereka yang ketagih tak boleh berhenti serta-merta kerana boleh menyebabkan penyakit kronik seperti sawan dan maut.


“Jadi, nasihat saya, pergi ke hospital untuk berhenti, dapatkan nasihat dan ubat untuk berhenti. Namun, lebih baik tak ambil alkohol langsung,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Makinramaiwanitaketagih/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...