BENGHAZI, Libya - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi membedil sebuah masjid di Zawiya, dekat Tripoli semalam.
Menurut beberapa saksi, sebuah menara masjid itu dibedil dengan menggunakan peluru berpandu antipesawat selain ditembak dengan senjata automatik.
Serangan itu ditujukan kepada sekumpulan penunjuk perasaan yang enggan meninggalkan masjid berkenaan.
Gaddafi turut menyatakan dalang kebangkitan rakyat di Libya adalah disebabkan oleh ketua pengganas yang paling dikehendaki Amerika Syarikat, Osama bin Laden yang memimpin pergerakan Al-Qaeda.
Beliau membuat kenyataan itu menerusi telefon kepada sebuah stesen televisyen di negara tersebut.
Sementara itu, penduduk tempatan telah memusnahkan sebuah bangunan yang digunakan oleh tentera upahan Gaddafi bagi memerangi penentangan di bandar Benghazi, timur Libya.
Bangunan tersebut rosak teruk dengan banyak dindingnya kini pecah.
Terdapat juga tulisan berupa kecaman terhadap Gaddafi antaranya Libya kini bebas dan Hapuskan Muammar.
Seorang peguam di sini berkata, satu jawatankuasa keselamatan telah ditubuhkan oleh orang awam pada Isnin lalu selepas bandar ini jatuh ke tangan penduduknya.
Menurutnya, jawatankuasa itu telah menangkap 36 tentera upahan dari Chad, Niger dan Sudan yang diupah oleh tentera Gaddafi untuk berperang di bandar ini.
Beberapa traktor dan jentera pengorek telah digunakan untuk memusnahkan bangunan itu.
"Walaupun mereka (pemerintah) membawa semua tentera upahan dari seluruh dunia, kami tetap akan teguh berdiri dan berperang demi negara kami," kata seorang penduduk Aowath Hussein Sady, 45,
"Rakyat Libya kini bersatu," tambahnya.
Menurut salah seorang penduduk, Gaddafi membelanjakan banyak wang untuk membiayai pemberontakan di Uganda, Burkina Faso dan Chad ketika penduduk Libya ramai yang miskin.
Gaddafi kini berdepan dengan kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya semalam hampir 42 tahun.
Kebangkitan rakyat itu didorong oleh kejayaan rakyat Mesir berhimpun di Kaherah sehingga mengakibatkan Presidennya Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.
Kelmarin, Menteri Luar Itali, Franco Frattini menganggarkan angka kematian di Libya akibat pertempuran antara tentera dengan penunjuk perasaan mencecah sehingga 1,000 orang.
- Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment